Friday, March 26, 2021

Hukum membuat video eksperimen sosial ‘gold digger’ -Pejabat Mufti WP.

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Saya ingin mohon pandangan mufti berkenaan video prank gold digger  social  experiment, yang mana konten video sebegini semakin popular di Youtube. Adakah dalam Islam dibenarkan buat video sebegini?

Ringkasan jawapan

Islam mengangkat tinggi kehormatan manusia dan diwajibkan untuk kita menjaga aib sendiri mahupun aib orang lain, maka dilarang dan ditegah untuk melakukan video yang mempunyai content sebegini. Video eksperimen social gold digger yang hangat dipertontonkan di media sosial kini merupakan prank, yang mana pada sesetengah keadaan tidak sesuai untuk dilakukan. Apatah lagi jika melibatkan maruah dan aib, penipuan, dan ujian yang direka kononnya mahu menguji seseorang namun hakikatnya hanya untuk meraih keuntungan dan kemasyhuran.

Huraian jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga, para sahabat, dan orang yang mengikuti jejak Langkah Baginda sehingga hari kiamat. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindunganNya.

Definisi

Secara bahasanya menurut kamus Merriam-Webster, prank bermaksud to play a trick or prank on someone. Berdasarkan terjemahan tersebut, prank boleh difahami sebagai gurauan atau menjadikan seseorang itu bahan jenaka. Manakala gold digger pula menurut kamus Merriam-Webster boleh diterjemahkan kepada ‘seseorang yang di mana hubungan romantiknya, ataupun perkahwinannya adalah semata-mata didorong oleh keinginan untuk mendapatkan wang’’. Istilah ini boleh difahami sebagai seseorang yang membina/mengejar hubungan kerana tertarik dengan wang yang merupakan simbol kekayaan.

Maka, video berkenaan prank gold digger ini boleh dituntaskan sebagai perbuatan jenaka terhadap seseorang yang memandang dan mahukan wang ketika membina hubungan dengan seseorang. Dikatakan video seumpama ini dibuat demi menguji ketabahan pasangan dengan menggunakan wang sebagai umpan, untuk melakukan perkara-perkara yang selalunya bersifat peribadi (cara ini popular di kalangan pasangan yang mahu menguji pasangannya mengenai sifat kesetiaan). Kebiasaannya prosedur prank ini dirakam tanpa pengetahuan tuan empunya badan, dan kemudian pada akhir video baru akan dijelaskan perkara yang sebenar bahawa tuan empunya badan sudah diprank. Objektif video ini dirakam dan disebarkan di Youtube selalunya untuk menaikkan rating dan jumlah tontonan yang ramai agar memperoleh bonus yang berbentuk wang. Boleh dikatakan, seorang youtuber memuat naik videonya sebagai sumber pendapatan sambilan mahupun sepenuh masa.

Secara moral, merakam atau mengambil video tanpa keizinan seseorang adalah dilarang sama sekali dan perlu meminta izin tuan empunya badan terlebih dahulu. Ini untuk menjaga air muka seseorang dan mengelakkan masalah yang tidak diingini seperti dendam dan lain-lain. Tambahan pula jika video sedemikian yang seharusnya diselesaikan secara peribadi seperti masalah hubungan suami isteri, kemudian disebarkan lalu menjadi punca pendapatan seseorang itu, maka boleh dihukumkan sebagai syubhah bahkan haram kerana menjana pendapatan berdasarkan aib seorang manusia.

Renungan

Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia itu dikurniakan beberapa kelebihan berbanding dengan makhluk yang lain seperti dalam firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Surah Al-Isra’: 70)

Pada ayat di atas, Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan adalah kemuliaan dan kehormatan diri, di mana dua nikmat ini tidak ada pada mahkluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik. [Lihat Jami’ Ahkam Al-Quran: 5/190]

Karamah Insaniyyah bermaksud kehormatan diri yang meliputi maruah dan harga diri seseorang. Seorang manusia mempunyai hak yang sama dengan manusia yang lain tidak kira bangsa mahupun agama, baik dari segi hak kehormatan, hak untuk dijaga maruah, dan juga hak untuk tidak dicampuri urusan peribadi. Hak yang dikurniakan kepada manusia ini harus dijaga dengan sebaik-baiknya. Tidak wajar kepada kita untuk merendah-rendahkan martabat dan maruah orang lain demi kepentingan diri sendiri untuk mengaut keuntungan. Apatah lagi jika mendedahkan aib dan menjaja kehormatan orang lain di media sosial yang boleh tersebar dengan laju dan tanpa sempadan.

Sabda Nabi SAW di dalam sebuah hadis:

لا يأخذنّ أحدكم متاع أخيه لاعبا ولا جادّا

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang daripada kalian untuk mengambil barang saudaranya, baik bergurau mahupun serius”. [Hadis Riwayat Abu Daud: 5003]

Menurut kitab ‘Aunul Ma’bud, sebuah karya yang mensyarahkan Sunan Abu Daud, hadis di atas menjelaskan berkenaan jika mengambil barang orang lain secara terus terang tanpa niat gurauan, maka dilarang kerana itu dikira sebagai mencuri. Ada pun jika mengambil barang tersebut dengan niat sebagai gurauan, maka dilarang juga kerana tiada faedah padanya. Bahkan boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti tuan empunya barang. [Lihat ‘Aunul Ma’bud: 8/141]

Melalui hadis di atas, dapat kita kiaskan bahawa perbuatan bergurau atau membuat seseorang menjadi bahan jenaka tanpa pengetahuan tuan empunya badan, adalah dilarang kerana khuatir akan timbulnya kemarahan dan penyakit hati. Apatah lagi jika gurauan itu merupakan keaiban tuan empunya badan yang kononnya menjadi bahan eksperimen. Dalam hal ini, Islam melarang keras penganutnya daripada menyebarkan aib seseorang kepada orang ramai.

Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya”. [Hadis Riwayat Imam Al-Tirmidhi: 2032]

Contoh lain yang boleh kita ambil daripada perbuatan prank adalah seperti gangguan terhadap seseorang ketika beliau sedang berehat atau kepenatan, semata-mata untuk jenaka atau bahan gurauan. Perbuatan seperti ni ditegah di dalam Islam kerana ianya berlawanan dengan saranan Nabi SAW seperti yang dinyatakan di dalam hadis:

حدثنا أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم: أنهم كانوا يسيرون مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في مسير فنام رجل منهم فانطلق بعضهم إلى نبل معه، فأخذها، فلما استيقظ الرجل فزع فضحك القوم فقال: ما يضحككم؟ فقالوا: لا إلا أنَّا أخذنا نبل هذا ففزع، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يحل لمسلم أن يروع مسلمًا

Maksudnya: Dikhabarkan kepada kami oleh para sahabat Rasulullah SAW: Ketika mereka sedang dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW maka telah tertidur seorang daripada mereka. Ketika itu rakan-rakannya ingin bergurau dan mengambil barangnya, maka terkejut lalu terjagalah orang itu daripada tidur lalu rakan-rakannya keriangan tertawa. Maka berkata Rasulullah SAW: “Apa yang ditertawakan oleh kamu?” Maka berkata mereka: “Tiada apa-apa melainkan kami bergurau dengan mengambil barangnya lantas beliau terkejut”, maka berkata Rasulullah SAW: “Tidak dibenarkan ke atas seorang Muslim untuk menyakiti Muslim yang lain”. [Hadis Riwayat Abu Daud: 4986]

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, kita seharusnya berusaha untuk menjaga aib orang lain seperti menjaga aib diri sendiri, kerana Islam sangat memandang tinggi akan kehormatan diri seseorang manusia. Disarankan agar youtuber tersebut untuk menukar kepada content yang lebih bermanfaat dan berfaedah serta tidak menimbulkan fitnah. Ingatlah bahawa kehidupan kita tidak akan tenang jika sering menyebarkan aib orang lain. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

Bibliografi

Salim Mustafa Badri. 2000. Tafsir Jami’ Ahkam Al-Quran li Imam Al-Qurtubi. Terbitan Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah: Beirut
Asyraf Siddiqi Abadi. 2011. Aunul Ma’bud li Syarh Sunan Abi Daud. Terbitan Al-Qudus: Kaherah
Jami’ at-Tirmidhi. Kitab Al-Birr Wa As-Shilah. Sunnah.com, Hadith 2032
Sunan Abi Daud. Jilid 5 Kitab Al-Adab. Muflihun.com, Hadith 4986

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan pada 22 Mac 2021.

No comments:

Post a Comment