Friday, March 12, 2021

Isu kalimah Allah: Umat Islam perlu adil dan kritis -K/Pemuda Pakatan Nasinal

 

SAYA mengajak kepada semua untuk kita berbincang isu ini dalam dua (2) keadaan:

Keadaan pertama 


Kalimah Allah sekiranya digunakan pada makna yang sebenarnya (seperti yang termaktub di dalam al-Quran) adalah dibenarkan untuk digunakan oleh orang bukan-Islam. Perkara ini adalah perkara yang maklum dan telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Sebagai contoh:

1. Nama ayah Nabi Muhammad S.A.W adalah ‘Abdullah’ meskipun ayah Nabi kita tidak mengucap dua kalimah syahadah.

2. Abu Jahal juga pernah menyebut nama Allah.

3. Perjanjian Hudaibiah antara Nabi Muhammad S.A.W dan Kafir Quraisy ditulis dengan dimulai dengan ‘Bismikallahumma’.

Kalimah Allah di atas telah digunakan pada tempatnya iaitu merujuk kepada Allah yang Esa Tuhan sekalian alam meskipun mereka masih mensyirikkan Allah. Allah S.W.T berfirman, 

‎وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ (63)

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”

(al-Ankabut: 63)

Keadaan kedua

Kalimah Allah digunakan untuk mengelirukan umat Islam, menggoncang akidah umat Islam dan digunakan dengan tidak merujuk kepada makna yang sebenar bahkan memberikan kalimah ‘Allah’ pada selain daripada Allah seperti patung-patung berhala, haiwan, tumbuhan, manusia (sama ada yang masih hidup atau telah mati) dan makhluk-makhluk yang lain.

Perkara ini hakikatnya adalah terlarang dan salah pada penggunaannya serta bermotifkan untuk melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan iaitu mengelirukan umat Islam demi dakyah agama mereka.

Keadaan kedua ini hakikatnya lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal dan kaum kafir Quraisy kerana seburuk-buruk dan seteruk-teruk Abu Jahal, mereka tidak menggunakan kalimah Allah pada ‘Tuhan’ mereka yang lain bahkan memberikan mereka nama yang lain seperti Latta dan ‘Uzza.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 telah menetapkan isu ini seperti berikut:

1. Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2. Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3. Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

4. Menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan-Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kesimpulan

Umat Islam mestilah mendepani isu ini dengan teliti, kritis dan cermat. Menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan kalimah Allah daripada disalahguna namun ia tidak bererti kita berhak melakukan tindakan yang dimurkai oleh Allah (kerana mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah).

Kerajaan juga pada masa yang sama mestilah bertanggungjawab melalui kerangka Siyasah Syar’iyyah dan autoriti yang ada untuk mengenalpasti serta mengambil tindakan tegas kepada pihak yang cuba memanipulasi penggunaan kalimah Allah dan berniat untuk mengelirukan umat Islam demi kepentingan dakyah mereka.

Saya berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, yang mengambil tindakan pantas melalui ruangkuasa yang ada (tanpa mempengaruhi dan campurtangan dalam perjalanan penghakiman di mahkamah) agar isu ini dapat dirungkai dan diselesaikan dalam kadar segera. Saya yakin PAS Pusat juga sebagai sebahagian daripada kerajaan sedang meneliti isu ini daripada segenap sudut sebelum mengambil pendirian yang adil. Alhamdulillah.

“Malaysia Prihatin”

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 12/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ya, mengenai isu kalimah Allah, umat Islam perlu adil dan kritis. Bukan macam sesetengah pengkritik yang jelas nampak kejahilannya dalam bidang agama, bahkan disulami dengan kalimat tidak berakhlak, lucah dan mencarut. 

Dari buah kita kenal pohonnya. Biasanya buah yang rosak, hasil dari pokok cacat atau tidak sempurna. Kita terpaksa longkangkan komennya. Harap maaf!

IHtv
IHtv
21 subscribers

No comments:

Post a Comment