Friday, March 26, 2021

PAS-Umno-Bersatu Perlis capai kesepaduan

 

KANGAR: PAS, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis dilihat mencapai kesepaduan seperti yang dikehendaki.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, walaupun di negeri lain berlaku perselisihan antara Umno dan Bersatu, namun usaha ke arah penyatuan tetap diteruskan.

“Kita tetap tidak berputus asa untuk menyatukan ketiga-tiga parti terbabit supaya pertembungan tiga penjuru tidak akan berlaku pada pilihanraya akan datang.

“Perpaduan yang dibina adalah demi kepentingan umat Islam di negara kita,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Pada bulan lepas Umno menghantar surat kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan tidak ada kerjasama kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun Umno di beberapa negeri termasuk Perlis dan Sabah meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno Perlis Tan Sri Shahidan Kassim menjelaskan parti itu terus menyokong kerajaan PN.

Selain itu tidak akan melanggar perjanjian yang dibuat parti tersebut ketika penubuhan kerajaan PN.

“Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya juga bekerjasama dengan PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana saya Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional,” kata Shahidan.

Tuan Guru Hashim juga berkata, perpecahan yang berlaku bukan hanya akan mengundang kerugian kepada umat Islam, bahkan musuh berpeluang merampas semula kuasa.

Pada 2018 Umno Perlis pernah mempunyai sejarah pertembungan dengan kepimpinan Umno pusat setelah sembilan Adun Barisan Nasional (BN) tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah Menteri Besar (MB) Perlis Dato’ Seri Azlan Man. – HARAKAHDAILY 25/3/2021

No comments:

Post a Comment