Beri peluang bumiputera ceburi perlombongan emas
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mengambil contoh penduduk Kampung Kechau, Lipis, Pahang, kerajaan akan berusaha membantu khususnya dari segi keusahawanan mereka.
Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri telah mengeluarkan lesen dan individu tersebut memenuhi syarat yang diperlukan untuk kegiatan berkenaan, kementeriannya akan menyokong.
“Kita juga sedia bantu mereka dalam melakukan perjanjian menerusi bank SME dan Bank Rakyat.
“Dua bank ini diwujudkan bagi membantu golongan usahawan termasuk penduduk di kawasan kegiatan melombong emas,” ujarnya.
Katanya, bagaimanapun permohonan mereka akan diteliti terlebih dahulu.
“Kita juga berharap institusi bank dapat memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kilang Pertukangan Emas Koperasi Makmur Malaysia Berhad, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Suriani Ahmad, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh dan Pengerusi Lembaga Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Hishamuddin Abdullah.
Beliau seterusnya berkata, pelombong emas juga perlu mengambil langkah sewajarnya supaya kegiatan mereka tidak menjejaskan banyak pihak.
Pada masa yang sama, keselamatan juga perlu dijaga sebaik mungkin bukan hanya melombong tanpa strategi yang sebaiknya.
Junaidi memberitahu, antara yang menjadi kebimbangan kerajaan juga keadaan alam sekitar sekiranya aktiviti melombong diteruskan tanpa kawalan.
“Saya harapkan penduduk yang terlibat dengan kegiatan melombong emas supaya berhati-hati agar tidak membinasakan alam sekitar dan keselamatan diri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk di tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut.
Tindakan berkenaan juga bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Beliau seterusnya memberitahu, mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu membuat permohonan kepada agensi berkaitan. – HARAKAHDAILY 6/3/2021
No comments:
Post a Comment