Wednesday, March 17, 2021

Pemimpin Islam Sri Lanka ditahan

 

Pemimpin Islam Sri Lanka yang juga bekas gabenor Wilayah Barat, Azath Salley. - Foto AGENSI

COLOMBO: Polis Sri Lanka menahan pemimpin Islam tertinggi negara itu atas tuduhan menyokong pelampau agama Islam, beberapa hari selepas kerajaan meluluskan undang-undang baharu memerangi radikalisasi.

Jurucakap polis, Ajith Rohana, berkata Azath Salley, 57, ditahan berhubung serangan pengebom berani mati pada Hari Easter 2019, yang didakwa dilakukan kumpulan jihad tempatan.

"Dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana pembabitannya dalam serangan pada 21 April 2019," katanya merujuk kepada tragedi yang mengorbankan 279 nyawa itu.

Salley, yang juga bekas gabenor Wilayah Barat, minggu lalu mencetuskan kemarahan kerajaan apabila membuat kenyataan hanya akan mematuhi undang-undang Syariah dan bukannya undang-undang Sri Lanka.

Penahanannya dilakukan beberapa hari selepas Colombo menggunakan akta kontroversi POTA bagi memperluaskan kuasa menahan suspek sehingga dua tahun bagi tujuan 'deradikalisasi'.

Sabtu lalu, kerajaan Sri Lanka mengumumkan pengharaman pemakaian burqa dan niqab, yang sebelum ini hanya diharamkan sementara selepas serangan bom pada 2019.

Pada hari sama, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, yang memenangi pilihan raya atas janji memerangi ekstremis Islam, mengumumkan kebenaran penahanan sesiapa yang disyaki terbabit dalam kegiatan ekstrim.

Ia termasuk tindakan ganas berlandaskan agama atau kaum, menjejaskan keharmonian kaum atau masyarakat dan mencetuskan permusuhan antara kaum. - AFP

Sri Lanka larang pemakaian burqa, tutup lebih 1,000 sekolah Islam

Mac 14, 2021 
Pemakaian burqa di negara beragama Buddha itu dilarang untuk sementara waktu pada 2019 setelah berlaku pengeboman gereja dan hotel oleh kumpulan militan. - REUTERS

COLOMBO: Sri Lanka akan melarang pemakaian burqa dan menutup lebih daripada 1,000 sekolah aliran agama Islam. Tindakan itu sekaligus menjejaskan golongan minoriti Muslim di negara itu.
Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera berkata, beliau tandatangan surat kelulusan kabinet melarang pemakaian burqa oleh wanita Islam dengan alasan keselamatan negara.Dakwanya tindakan memakai burqa dianggap ekstremisme agama.
Pemakaian burqa di negara beragama Buddha itu dilarang untuk sementara waktu pada 2019 setelah berlaku pengeboman gereja dan hotel oleh kumpulan militan yang meragut lebih daripada 250 nyawa. Pada akhir tahun itu, Gotabaya Rajapaksa, terpilih sebagai presiden setelah menjanjikan tindakan keras terhadap ekstremisme.
Weerasekera menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk melarang lebih daripada 1,000 sekolah pondok dan madrasah, yang menurutnya, melanggar dasar pendidikan kebangsaan. Tindakan pemerintah terhadap burqa dan sekolah aliran agama Islam ini tidak berbeza dengan perintah dikeluarkan tahun lalu.
Antara lain, pada 2020, kerajaan mewajibkan pembakaran mayat mangsa COVID-19 sekaligus bertentangan dengan Islam yang menguburkan jenazah mereka yang meninggal dunia. Perintah itu dibatalkan awal tahun ini selepas dikritik Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.
Lihat sebelum ini..

Friday, September 17, 2010

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails