Sunday, March 14, 2021

PH N/Sembilan bankrap idea ternak semula babi Bukit Pelandok?

 

Ternakan babi ‘diundang kembali’ ke Bukit Pelandok?

KERAJAAN Pakatan Harapan Negeri Sembilan dituntut memberi penjelasan terhadap rancangan pembangunan semula Bukit Pelandok sepertimana yang diuar-uarkan. Kerana dikatakan kerajaan bersedia mempertimbangkan Kawasan Ternakan Babi (PFA) untuk ‘dikembalikan’?

Sekiranya benar, ia adalah suatu perkara yang malang kepada rakyat di mana inisiatif itu menunjukkan pihak kerajaan bankrap idea untuk memajukan negeri. Seolah-olah tiada pilihan lain untuk menjana pendapatan negeri dan memenuhi keperluan rakyat kebanyakan.

Bahkan, fokus secara tiba-tiba ke lokasi yang pernah mencatat tragedi hitam korban 108 nyawa akibat Virus Nipah lebih 20 tahun dahulu itu bagaikan tiada keutamaan kawasan lain untuk dibangunkan. Malah, amat munasabah dikatakan bahawa ia untuk kepentingan sekelompok tertentu sahaja.

Kewajaran untuk kerajaan negeri ‘mengundang kembali’ penternakan tersebut amatlah dangkal kerana keperluan bagi pemakannya sudah dipenuhi dari ladang lainnya. Bahkan, jumlah ternakan babi di negara ini keseluruhannya telah melebihi berganda berbanding penggunaan atau permintaan.

Kerana itu ia menjadi antara eksport dan untuk itu, Negeri Sembilan tidak mempunyai keperluan untuk mengembang besar lagi dari kadar sedia ada ketika ini. Malah, sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan juga mesti mengambil langkah menghadkan ternakan ini.

Kerajaan seharusnya merancang pembangunan termasuk ekonomi yang lebih komprehensif dan memenuhi keperluan masa depan, bukan yang bersifat langkah mundur seperti ini. 

Islam mengajar bahawa mengelak mudharat adalah lebih utama dari mendapatkan manfaat. Sejarah hitam tragedi Virus Nipah di Bukit Pelandok yang menyebabkan kematian ratusan sepatutnya menjadi iktibar besar untuk semua. 

SAIFUL LIZAN MD YUSOF
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails