Friday, March 05, 2021

Seruan Presiden PAS: Merdekakan Perlembagaan!

 

"Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya."

PARA pemimpin masyarakat majmuk yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan daripada semua parti politik yang menyertai PRU 1955 Pra-Kemerdekaan memainkan peranan besar menentukan dasar dan hala tuju negara selepas merdeka, melainkan Parti Komunis yang menolak agama diharamkan dan mereka yang bersamanya tidak terlibat dalam pilihan raya.

Para pemimpin yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi mengadakan rundingan kemerdekaan tersebut. Mereka menghadapi cabaran melalui penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid, di mana keanggotaan suruhanjaya itu tidak disertai oleh mana-mana individu dalam kalangan para pemimpin atau ilmuwan tempatan.

Ahli Suruhanjaya Reid terdiri daripada:

  • Lord William Reid (Pengerusi)
  • Sir Ivor Jennings (British)
  • Sir William McKell (Australia)
  • Hakim B Malik (India)
  • Tuan Abdul Hamid (Pakistan)

Beberapa  memorandum telah dikemukakan kepada mereka, bahkan terdapat dalam kalangan wakil raja-raja juga terlibat dalam beberapa perundingan.

Cadangan mengenai agama dipinda walaupun rumit, Islam tetap diterima sebagai agama bagi Persekutuan. Pindaan ini diterima oleh orang bukan Melayu melalui parti-parti mereka yang menyertai PERIKATAN bersama Umno, kerana ia menjamin hak setiap rakyat di Persekutuan Tanah Melayu untuk bebas menganut agama sendiri. PAS yang mempunyai satu kerusi menerima pindaan tersebut dengan pentafsirannya sendiri.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dianggap sebagai ketua agama Islam tidak berani disentuh oleh penjajah British dengan cara yang berhati-hati.

Akhirnya dicadangkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Dengan erti kata lain, agama-agama selain Islam yang dianuti oleh rakyat dalam masyarakat majmuk diiktiraf hak untuk menganut agama masing-masing.

Adapun Islam yang dikatakan agama Persekutuan itu tidak ditafsirkan dalam perlembagaan. Inilah sifat kebiasaan dalam perlembagaan yang menjadi undang-undang dasar negara.

Sistem pentadbiran berkonsepkan federalisme dan kedudukan agama Islam dihuraikan dalam peruntukan Perlembagaan yang lain, tidaklah mengikat sehingga tafsirannya tidak boleh diubah.

Bahkan dalam kalangan ilmuwan Barat sendiri bertelingkah antara satu sama lain dalam mentafsirkan Islam. Terdapat kalangan mereka yang mentafsirkan Islam dengan perkataan ‘religion’. Selain itu, ada juga yang mentafsirkan Islam dengan ungkapan ‘religion and way of life’, ‘Muhammadan Law’ (Dr. V. Fitzgerald), ‘Muhammadanism’ (RO Winstedt) dan sebagainya.

Pada masa yang sama, terdapat dalam kalangan orientalis yang mengkaji ajaran Islam, mereka mengakui bahawa Islam bukan semata-mata agama sahaja, bahkan meliputi semua aspek kehidupan manusia. Antaranya ialah tokoh seperti Dr. V. Fitzgerald, Prof. C. A. Nallion. Dr. Joseph Schacht, R. Strothmann, D. B. MacDonald, Sir T. Arnold, Prof. H. A. R. Gibb dan tokoh yang lain.

Terdapat kelompok yang hanya tahu menghentam kromo tanpa mengkaji serangan pemikiran paling melampau yang dilakukan terhadap umat Islam.

Hal-hal ini menjadikan sebahagian daripada hakim-hakim British pada zaman penjajahan dahulu, membuat keputusan secara berhati-hati apabila melibatkan hal ehwal Islam. Mereka tidak berani melanggar sensitiviti umat Islam, apabila tindakan itu dianggap sebagai menghina agama Islam.

Terdapat dalam kalangan ilmuwan Barat sendiri menyedari hakikat yang sebenar tentang Islam. Khususnya apabila mereka menjadikan al-Quran sebagai salah satu daripada rujukan dalam persidangan antarabangsa bagi menggubal undang-undang antarabangsa selepas berlakunya Perang Dunia Pertama.

Maka, apakah tafsiran kita sendiri terhadap Islam?

Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam menegaskan bahawa Islam adalah al-Din. Pengertian dari  sudut bahasa yang memberikan maksud secara sempurna mengikut kejadian alam semesta, termasuk alam manusia sebagai sebahagian yang sangat kecil daripada alam keseluruhannya.

Firman Allah SWT:

﴿أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ٨٣ قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَالنَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ٨٤ وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ٨٥﴾

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain selain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya sahajalah tunduk dan taat segala apa yang berada di langit dan di bumi, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa. Dan hanya kepada Allah jualah mereka dikembalikan. (83); Katakanlah: ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya sahajalah kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84); Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka mereka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan pada Hari Akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85).” (Surah Ali ‘Imran: 83-85)

Adapun tentang Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿…الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ…٣﴾

“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kalian, dan Aku telah meredhai Islam itu menjadi agama kalian…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Manakala mengenai kedudukan Islam dengan semua ajaran yang lain, perkara ini ditegaskan oleh firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ٩﴾

Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci dirinya.” (Surah al-Saff: 9)

Rasulullah SAW pula menegaskan dengan sabdanya:

‌الْإِسْلَامُ ‌يَعْلُو ‌وَلَا ‌يُعْلَى ‌عَلَيْهِ.

“Islam itu tinggi dan tidak boleh ditinggikan agama yang lain mengatasinya.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, jld. 6, ms. 205 dan al-Daraqutni 395)

Maka, sikap penganut Islam terhadap agama mereka hendaklah berdasarkan panduan al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Walaupun wajib ditegakkan konsep tidak ada paksaan dalam agama dan kebebasan penganut agama masing-masing mengikut kepercayaan mereka.

Bahkan terdapat dalam kalangan para hakim yang benar-benar arif dan amat arif dalam membuat keputusan berdasarkan budi bicara kerana  masih mempunyai sensitiviti agama dalam diri masing-masing, sebagaimana Tun Salleh Abbas, Tan Sri Harun Hashim dan Tun Hamid. Termasuklah juga dalam kalangan para ilmuwan seperti Prof. Ahmad Ibrahim, Dato’ Nik Abdul Rashid, Aminuddin Baki dan tokoh-tokoh lain.

Malangnya terdapat dalam kalangan para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama. Mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicaranya.

Apa yang menarik, penjajah British sendiri pada zaman penjajahan sangat berhati-hati agar tidak menyentuh sebarang sensitiviti penganut Islam, sehingga mereka meletakkan kuasa Islam kepada raja-raja. Sekalipun mereka menyembunyikan pentafsiran perkataan agama mengikut kehendak mereka dengan makna yang sempit, dan merampas kuasa politik dan pentadbiran secara tersembunyi tanpa difahami rakyat.

Bahkan beberapa keputusan mahkamah oleh para hakim berbangsa Inggeris dibuat dengan sangat berhati-hati. Malangnya ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam, walaupun telah mendapat kemerdekaan lebih setengah abad. Malangnya lagi, terdapat juga kalangan mereka yang menonjolkan diri berwajah Inggeris lebih daripada bangsa Inggeris sendiri.

Apabila berlakunya keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor, menjadikannya laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang. Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya.

Mereka muncul atas pelbagai nama media, NGO dan individu sehingga umat Islam dapat mengenali secara dekat siapa wajah mereka yang sebenarnya.

Terpulang kepada diri masing-masing, sama ada ingin menepuk dada tanya iman atau tepuk dada tanya selera makan. 

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Rajab 1442 / 4 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 4/3/2021

1 comment:

Anonymous said...

Khadam2 adalah buaya yg tak sembunyi. Mereka bekerjasama dengan dap utk kekalkan undang2 penjajah. Terutama abam yg sentiasa menderhaka terang2 dan carmourflage.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails