Thursday, March 18, 2021

Sidang parlimen, demokrasi M'sia, Al-hamdulillah! Bukan 'yang ditebuk otak'!

 

Tiada lagi alasan tangguh sidang Parlimen  -Dr Kamarul Zaman

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempercepatkan sidang Parlimen bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan negara terutama selepas wakil rakyat diberi suntikan vaksin Covid-19, kata Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Mengulas lanjut kata Kamarul, berikutan penurunan kadar kes harian Covid-19 yang agak memberangsangkan, pelaksanaan sidang Parlimen tidak wajar ditangguhkan lagi.

Malah sehingga kini tiada rekod menunjukkan terdapat kes jangkitan berpunca dari Parlimen, ujarnya dalam satu program wawancara Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di TV1, pada Isnin.

“Kerajaan perlu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pihak pembangkang dan masyarakat awam yang mahukan sistem demokrasi kembali berfungsi.

“Hal ini sekali gus untuk menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa proklamasi darurat bertujuan politik, sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin seringkali menegaskan ianya hanya bertujuan mengekang penularan Covid-19 (darurat kesihatan).

“Jadi, inilah kelebihan suasana demokrasi yang kita ada sekarang yang akan menjadikan sistem pemerintahan negara lebih  accountable  (bertanggungjawab) dan transparent (telus),” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, persidangan boleh diadakan mengikut norma baharu seperti yang dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, beliau percaya semua wakil rakyat akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan membantah peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu katanya, melalui sidang Parlimen juga dapat mengaktifkan pelbagai akta dan ordinan tertentu bagi menangani pandemik Covid-19 seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sidang parlimen, demokrasi di Malaysia, Al-hamdulillah! Kecuali mereka yang sudah 'ditebuk otak'.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails