فتاوى معاصي اللسان والجوارح
Fatwa sekalian maksiat lisan dan anggota
فصل في الواجبات القلبية
Fasal pada menerangkan yang wajib yang bangsa hati
بغض المعاصي
Benci maksiat
يجب كراهية المعاصي من حيث إن الله تبارك وتعالى حرّم على المكلفين اقترافها ، فيجب كراهية المعاصي وإنكارها بالقلب من نفسه أو من غيره .
Wajiblah membenci sekalian maksiat dari pihak bahawasanya Allah Taala mengharamkan atas sekalian mukallaf mengerjakannya. Maka wajib bencikan sekalian maksiat itu dan wajib ingkarkannya dengan hati dari dirinya dan dari orang lain.
Fatwa sekalian maksiat lisan dan anggota
فصل في الواجبات القلبية
Fasal pada menerangkan yang wajib yang bangsa hati
بغض المعاصي
Benci maksiat
يجب كراهية المعاصي من حيث إن الله تبارك وتعالى حرّم على المكلفين اقترافها ، فيجب كراهية المعاصي وإنكارها بالقلب من نفسه أو من غيره .
Wajiblah membenci sekalian maksiat dari pihak bahawasanya Allah Taala mengharamkan atas sekalian mukallaf mengerjakannya. Maka wajib bencikan sekalian maksiat itu dan wajib ingkarkannya dengan hati dari dirinya dan dari orang lain.
Keterangan
Erti Maksiat
Perkataan المعصية (maksiat) pada bahasa bererti derhaka atau tidak taat.
Berkata Imam Ar-Raghib Al-Asbihani:
المعصية: الخروج عن الطاعة، ومخالفة الأمر
Ertinya: “Bermula perkataan maksiat artinya ialah keluar dari taat dan menyalahi perintah.” (Kitab Al-Mufradat)
Dan erti maksiat pada syarak ialah
مخالفة أمر الله تعالى فهي فعل الحرام أو ترك الواجب
Ertinya: “Menyalahi perintah Allah iaitu melakukan perbuatan yang haram atau meninggalkan yang wajib.” (Kamus Mustalahat Fiqhiyah)
Dan termasuk juga menyalahi perintah Rasulullah SAW.
Berkata Imam Al-Jurjani:
المعصية في الشرع مخالفة أوامر الله تعالى ورسولِه صلى الله عليه وسلم
Ertinya: “Maksiat pada syarak ialah menyalahi segala perintah Allah Taala dan perintah Rasulullah SAW.” (Kitab At-Ta’rifat)
Dan erti maksiat yang masyhur di sisi ulamak ialah:
الخروج من طاعة الله
Ertinya: “Keluar dari patuhkan perintah Allah.”
Dan maksud tidak taat itu ialah pada perintah yang wajib dan pada melakukan yang haram sahaja.
Kerana itu siapa yang tidak taat perintah Allah melakukan yang diwajibkan atasnya disebut sebagai berbuat maksiat tetapi tidak dikatakan bagi orang yang meninggalkan perintah yang sunat itu sebagai berbuat maksiat.
Begitu juga siapa yang melakukan yang haram disebut sebagai berbuat maksiat tetapi tidak dikatakan kepada orang yang melakukan perkara yang makruh itu sebagai berbuat maksiat.
Dan orang yang melakukan derhaka itu disebut عاصٍ yaitu penderhaka. Manakala orang yang selalu melakukan maksiat disebut sebagai ahli maksiat.
Janji Allah kepada pelaku maksiat
Firman Allah Taala:
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ
Ertinya: “Barangsiapa yang derhaka ia akan Allah dan Rasul-Nya dan melanggar hukum-hukum Allah akan dimasukkan ke dalam api neraka jahannam kekal mereka di dalamnya dan bagi mereka azab yang hina.” (Surah An-Nisak: 14)
Maksud kekal dalam neraka itu ialah selama-lamanya bagi orang kafir dan masa yang lama bagi orang mukmin.
Adalah maksiat itu sekalipun dosa yang kecil sangatlah dilarang oleh syarak oleh itu jangan merasa ringan melakukan dosa kecil kerana setiap dosa yang dilakukan sama ada dosa besar atau dosa kecil ialah derhakakan Allah Yang Maha Besar.
Berkata Imam Ahmad: Telah berkata Bilal bin Sa’ad:
لا تنظُرْ إلى صِغَرِ الخطيئةِ، ولكن انظُرْ مَن عصَيْتَ
Ertinya: “Jangan kamu pandang kepada kecilnya suatu dosa tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhaka itu.” (Kitab Az-Zuhdu)
Erti bencikan maksiat
Wajib atas sekalian orang Islam benci kepada maksiat sama ada maskiat itu adalah dosa kecil atau besar dan sama ada maksiat itu dilakukan oleh orang lain atau dirinya sendiri dan sama ada yang melakukan maksiat itu orang-orang besar atau rakyat bawahan.
Dan wajib disertakan dengan benci itu akan tindakan menghalang perbuatan maskiat tersebut seperti mengenakan hukuman oleh pemerintah yang berkuasa atau memarahinya atau memukulnya oleh suami jika yang berbuat maksiat itu ialah anak isterinya dan menegur dan menasihati jika yang melihat maksiat itu ialah orang awam yang tidak mempunyai kekuasaan atas pelaku maksiat.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Ertinya: “Siapa melihat ia akan satu perkara munkar maka ubahlah dengan tangannya dan jika dia tidak kuasa maka dengan lidahnya dan jika tidak kuasa maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu ialah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tanda pemerintah benci maksiat
Iaitu pemerintah umat Islam wajib melarang rakyat melakukan perkara maksiat dan memperuntukkan undang-undang menghukum pelaku maksiat dan wajib pula atas mereka melarang dari segala perkara yang ada hubungan dengan maksiat itu berlaku di dalam negara dan menutup semua perniagaan yang haram seperti arak dan judi atau yang ada unsur maksiat di dalamnya serta program-program hiburan dan sukan yang berunsur maksiat.
Maka jika ada berlaku maksiat di dalam negara sedangkan pemerintah umat Islam mengetahuinya dan ada kuasa untuk menghalangnya tetapi tidak bertindak, maka setiap dosa yang dilakukan itu ditanggung sama oleh pemerintah terbabit. Dan tidak diterima alasan pemerintah membenci maksiat dalam hati kerana benci di dalam hati itu hanya dimaafkan kepada orang yang lemah yang tidak berdaya.
Haram taat kepada manusia yang menyuruh berbuat maksiat
Bermula taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya itu ialah wajib secara mutlak bersalahan taat kepada makhluk maka iaitu wajib yang muqayyad.
Selama mana perintah makhluk itu tidak derhaka kepada Allah maka wajiblah taat kepadanya bagi mereka yang diwajibkan taat seperti rakyat taatkan pemerintah dan isteri taatkan suami dan anak taatkan ibu bapa dan pekerja taatkan majikan dan seumpamanya.
Maka jika makhluk menyuruh kepada perkara maksiat nescaya haramlah taat kepadanya.
Telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Nabi saw telah bersabda:
عَلى المَرْءِ المُسْلِم السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيما أَحَبَّ وكَرِهَ، إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإذا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طاعَةَ
Ertinya: “Atas seorang Islam itu wajib dia dengar dan taat pada perintah yang dia suka dan yang dia tidak suka melainkan bahawa diperintah dengan perkara maksiat. Maka apabila seorang Islam diperintah dengan perkara maksiat maka tidak boleh dengar dan tidak boleh patuh.” (Hadis riwayat Bukhari)
Contoh perintah maksiat dari makhluk yang haram ditaati
Pemerintah menyuruh rakyatnya merayakan semua perayaan berbilang agama di dalam negara, maka haram rakyat yang Islam taat kepada perintah tersebut. Pemimpin menyuruh kakitangan bawahan mendapatkan projek untuk sanak saudara pemimpin tersebut, maka haram atasnya taat kepada arahan pemimpin tersebut.
Majikan menyuruh pekerjanya memakai seragam yang menampakkan aurat, maka haram atas pekerja tersebut taat kepada majikannya itu. Suami menyuruh isteri membuka tudung kepala kerana mahu hadir di majlis makan malam orang kenamaan, maka haram isteri itu taat kepada suaminya itu. Ibu bapa melarang anaknya belajar ilmu agama yang fardu ain, maka haram atas anaknya taat perintah kedua orang tuanya itu, dan lain-lain lagi.
Benci pelaku maksiat
Wajib orang Islam merasa benci kepada maksiat dan pelaku maksiat. Dalam satu riwayat Rasulullah SAW telah bersabda:
قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ : تَحَبَّبُوا إِلَى اللَّهِ وَ تَقَرَّبُوا إِلَيْهِ . قَالُوا : يَا رُوحَ اللَّهِ ، بِمَا ذَا نَتَحَبَّبُ إِلَى اللَّهِ وَ نَتَقَرَّبُ ؟ قَالَ : بِبُغْضِ أَهْلِ الْمَعَاصِي ، وَ الْتَمِسُوا رِضَا اللَّهِ بِسَخَطِهِمْ
Ertinya: “Berkata Nabi Isa anak Maryam a.s. kepada sahabatnya: Kasihlah kamu sekalian akan Allah dan dekatkanlah diri kamu sekelian kepada-Nya. Berkata mereka itu: Wahai Ruh Allah! Dengan apa cara kami kasih dan dekatkan diri kepada Allah? Jawab Nabi Isa a.s.: Dengan bencikan ahli maksiat dan tuntutlah redha Allah dengan murka terhadap pelaku maksiat.” (Kitab Biharul Anwar)
Yang dimaksudkan dengan benci pelaku maksiat itu ialah bencikan keadaan mereka yang suka melakukan maksiat bukannya bencikan tubuh badan mereka. Sesunggguhnya meninggalkan maksiat dan benci kepada maksiat itu sebab bagi dapat redha dan kasih Allah dan mati dalam keadaan yang baik.
Telah berkata Imam Ali Zainal Abidin:
يا نفسُ، كُفِّي عن العصيانِ واكتَسِبي . فِعلًا جميلًا لعلَّ اللهَ يرحَمُني
يا نفسُ، ويحكِ توبي واعمَلي حسنًا . عسى تُجازَيْنَ بعد الموتِ بالحسَنِ
Ertinya: “Wahai nafsuku. Tahanlah dari maksiat dan lakukanlah perbutan yang baik mudah-mudahan Allah kasih Ia akan daku. Wahai nafsuku segeralah kamu bertaubat dan amalkan kebaikan semoga mendapat balasan baik selepas dari kematian.”
Wajib kasih orang yang taat kepada allah
Bermula bencikan maksiat itu kerana Allah maka wajib benci maksiat itu sekalipun dilakukan oleh diri sendiri atau sanak saudara atau sesama kumpulan dan apabila benci kepada maksiat itu wajib maka wajib pula kasih kepada orang yang taat pada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Maka tanda seorang itu dikasih olih Allah Taala ialah dia benci kepada pelaku maksiat dan kasih kepada orang-orang yang taat bergama dan tanda seorang itu dimurkai oleh Allah Taala ialah dia kasih kepada pelaku maksiat dan benci kepada orang-orang yang taat.
Diriwayatkan daripada Abu Ja’far beliau berkata:
إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَعْلَمَ أَنَّ فِيكَ خَيْراً فَانْظُرْ إِلَى قَلْبِكَ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ أَهْلَ طَاعَةِ اللَّهِ وَ يُبْغِضُ أَهْلَ مَعْصِيَتِهِ فَفِيكَ خَيْرٌ وَ اللَّهُ يُحِبُّكَ وَ إِذَا كَانَ يُبْغِضُ أَهْلَ طَاعَةِ اللَّهِ وَ يُحِبُّ أَهْلَ مَعْصِيَتِهِ فَلَيْسَ فِيكَ خَيْرٌ وَ اللَّهُ يُبْغِضُكَ وَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Ertinya: “Kalau kamu hendak tahu ada kebaikan pada diri kamu maka lihatlah kepada hatimu. Maka jika hatimu itu kasih kepada orang yang taatkan Allah dan benci kepada orang yang derhaka akan Allah maka ada kebaikan pada kamu dan Allah pun mengasihimu. Dan jika hati kamu benci kepada orang yang taatkan Allah dan kasih kepada orang yang derhakakan Allah maka tiada kebaikan pada diri kamu dan Allah murka kepadamu. Dan bahawasanya seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia kasih.”
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 10/3/2021
No comments:
Post a Comment