Sunday, March 28, 2021

Tangguh Undi 18 tahun, yang penting kematangan. -Presiden PAS

 

PAS utamakan kematangan memilih kerajaan

MARANG: PAS pada dasarnya bersetuju jika pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi berumur 18 tahun itu ditangguhkan kerana yang penting kematangan.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kelayakan mengundi bukan sahaja bergantung kepada umur 18 tahun tetapi mesti ada kematangan.

Katanya, negara ini tidak perlulah terikut dengan konsep demokrasi negara barat yang berpandukan kepada umur 18 tahun semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau lebih penting kematangan seseorang memilih kerajaan kerana dalam Islam ada disebut tentang tahun kematangan itu.

“Undi (18 tahun) bergantung kepada kematangan, jangan (kira) undi 18 tahun sahaja, mesti ada kematangan. Kita (Malaysia) tak boleh terpengaruh dengan demokrasi barat.

“Dalam Islam ada disebut tahun kematangan. Kematangan boleh berlaku (umur) 16 tahun, 18 tahun, boleh berlaku 25 tahun. (Ada) Orang 40 tahun tak matang lagi pun ada, malangnya kita (negara) berpandu kepada konsep demokrasi barat, pada umur bukan kematangan.

“Sebab itu perlu dibuat pertimbangan kepada kematangan bukan kepada umur sahaja,” ujarnya ketika ditanya pemberita selepas Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, PAS tidak terkesan jika pelaksanaan pendaftaran pemilih undi 18 tahun itu ditangguhkan kerana mahu rakyat yang lebih matang dalam memilih kerajaan.

“Kita (PAS) setuju (tangguh), tak ada kesan apa, yang penting kita (PAS) mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.

“Kalau rakyat mentah akan pilih kerajaan mentah. (Sebab itu) Kematangan yang penting,” tegasnya.

Pada 25 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun, yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusinya, Dato’ Abdul Ghani Salleh berkata, ia setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal badan itu.

Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Parlimen, urusan berkaitan pindaan itu akan dilaksanakan oleh SPR. – HARAKAHDAILY 26/3/2021



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails