Monday, March 29, 2021

Undi18 adalah umpan politik Pakatan Harapan semata-mata

 

KEMELUT mengenai penangguhan pelaksanaan Undi18 segera mengingatkan saya kepada catatan Peguam Negara Kerajaan Pakatan Harapan, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam buku biografi beliau mengenai asal usul pindaan Perlembagaan yang dibuat mengenainya.

Tidak dinafikan bahawa dalam PRU14 agenda Undi18 dimasukkan ke dalam Manifesto Pakatan Harapan sebagai Janji 17 yang berbunyi ‘Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran automatik’.

Arkitek kepada pindaan Perlembagaan yang mendapat liputan istimewa Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku biografi beliau dengan menyifatkannya sebagai ‘satu kemenangan (‘a triumph’) untuk Kerajaan Pakatan Harapan’ ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Membantu Syed Saddiq ialah Tan Sri Tommy Thomas sendiri yang menyebut bahawa pindaan Perlembagaan ini pasti akan berjaya kerana tiada sebuah parti atau seorang Ahli Parlimen pun yang akan berani untuk menentangnya kerana tidak mahu menjauhkan pengundi muda.

Ini ayat Tan Sri Tommy Thomas: ‘One cannot imagine any political party or any individual Member of Parliament not supporting the reduction of voting age. Their self-interest would propel them to support it because they could not afford to alienate young voters.’

Seperti mereka jangka, bila RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mengandungi kedua-dua janji Pakatan Harapan ini, selain penurunan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun, dibentangkan di Parlimen pada 16 Julai 2019, ia disokong sebulat suara.

Selepas pindaan Perlembagaan ini diluluskan kerja mereka dikira selesai kerana pelaksanaannya adalah menjadi tanggungjawab SPR selaku Suruhanjaya yang ‘mendapat kepercayaan awam’ yang tidak terikat secara langsung dengan pihak kerajaan.

Tarikh pelaksanaan pakej Undi18 ini diumumkan sendiri buat pertama kalinya di laman web SPR oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 10 Oktober 2019 selain disebut di Parlimen hari itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Kenyataan di laman web SPR oleh Pengerusi SPR itu menyebut ‘Umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijadualkan akan dikuat kuasa untuk dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021’.

Kenyataan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula menyebut ‘SPR menjangkakan tarikh pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021’.

Setelah Kerajaan Perikatan Nasional berkuasa, bila ditanya oleh Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, sekali lagi mengulangi, pada 3 November 2020, jawapan awal Pengerusi SPR dan Menteri terdahulu.

Jawapan ini diberikan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak kerajaan walaupun tercatat dalam Penyata Rasmi Parlimen betapa Datuk Takiyuddin Hassan sendiri menyebut sewaktu membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 Julai 2019 ini:

(1) ‘Perlu diingat bahawa tidak mudah untuk kita menyelaraskan ataupun menyelesaikan masalah yang mungkin timbul dalam hal pendaftaran automatik ini terutamanya apabila berlaku kepelbagaian atau bermacam-macam alamat di kad pengenalan rakyat Malaysia yang mungkin alamat tersebut sudah tidak wujud pada masa ini.’

(2) ‘Saya hendak menyarankan selagi masalah-masalah pendaftaran ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak SPR dan juga pihak yang berkenaan, maka pelaksanaan atau penguatkuasaan pindaan ini tidak sewajarnya dilaksanakan dan ia perlu ditangguhkan.’ 

(3) ‘Oleh sebab itulah pembangkang sebelum ini menyarankan supaya pihak kerajaan mempersiapkan terlebih dahulu segala prasarana ataupun infrastruktur berkaitan dengan pendaftaran ini sebelum membawa pindaan ini ke dalam Parlimen.’

‘Reservation’ dan ingatan sama mengenainya juga telah turut diberikan oleh Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, yang kini merupakan Menteri Kanan Kerja Raya Kerajaan Perikatan Nasional, yang turut menyebut dalam ucapan perbahasan beliau pada 16 Julai 2019 ini:

(1) ‘Saya hendak mencadangkan pada kerajaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan hanya mengumumkan penguatkuasaan ini setelah Menteri ataupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bila semua technicalitiestelah pun diselesaikan, apa yang saya katakan legal technicalities tadi iaitu pindaan kepada undang-undang yang berhubung kait dengan untuk menurunkan umur 18 tahun, automatic registration dan juga kepada kelayakan menjadi calon di peringkat pilihan raya.’

(2) ‘Sistem di antara polis, KDN, SPR, Jabatan Penjara dan juga Jabatan Pendaftaran Negara perlu synchronize supaya mereka boleh berhubung antara satu sama lain, supaya siapa-siapa yang tidak layak untuk menjadi pengundi boleh dikeluarkan ataupun ada sistem untuk alert.’ 

(3) ‘Kalau ini semua dapat diselesaikan, barulah penguatkuasaan ini boleh kita laksanakan. Kalau tidak ianya akan menimbulkan banyak permasalahan lain kepada sistem. Hasrat baik ini nanti akan menimbulkan kepada suatu yang hasilannya tidak baik.’

Begitupun, di sebalik ‘reservation’ dan ingatan ini bila Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, mengumumkan bahawa jangkaan perlaksanaannya kini berubah kepada ‘selepas 1 September 2022’ peliknya Datuk Takiyuddin Hassan menjadi mangsa terbesar kecaman.

Datuk Takiyuddin Hassan disifatkan sebagai penipu manakala Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Kerajaan Perikatan Nasional pula tidak semena-mena dilabelkan sebagai kerajaan pengecut yang kononnya takut untuk berhadapan dengan pengundi muda.

Walhalnya, pemimpin Pakatan Harapan pun sebenarnya tahu, dan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, sendiri pun berkali-kali mengakui, kesukaran untuk melaksanakannya, malah mereka sendiri tidak berbuat apa-apa sehinggalah kerajaan mereka tumbang.

Perkara ini pula berada di bawah SPR, dan mempertikaikan secara berlebihan keputusan SPR dalam perkara ini adalah umpama mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang Ahlinya.

Sebab itulah, pada hemat saya, Undi18 ini sebenarnya adalah umpan politik para pemimpin Pakatan Harapan semata-mata bagi menunjukkan kononnya mereka telah menunaikan janji-janji pembaharuan undang-undang yang terkandung di dalam Manifesto Pakatan Harapan. 

Sebab itulah juga, pada hemat saya, Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku biografi beliau sudah menyifatkan kelulusan pindaan Perlembagaan ini sebagai ‘satu kemenangan’ untuk Kerajaan Pakatan Harapan kerana yang dipentingkan adalah ‘kemenangan’ semata-mata.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 27/3/2021

No comments:

Post a Comment