Sunday, March 28, 2021

Warkah sempena Perhimpunan Agung Umno ke-75

 

KE HADAPAN saudara-saudaraku para pejuang bangsa pembela tanah air tercinta. Semoga kalian terus sihat sejahtera di dalam rahmat Allah dan inayah-Nya. 

Saudaraku, 

Esok bakal berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka PWTC, dan secara atas talian. Pada peringkat awal, saya dimaklumkan untuk mengiringi Ketua Pemuda PAS ke perasmian Perhimpunan Agung sayap-sayap Umno pada 27 Mac, dan saya telah siap sedia di Kuala Lumpur untuk tujuan itu. Bagaimanapun, ekoran penjarakan dan SOP yang agak ketat, hanya Ketua Pemuda sahaja akan mewakili Pemuda PAS pada kali ini.

Mengimbau kembali kisah di Dewan Merdeka PWTC, teringat akan Himpunan Penyatuan Ummah 2 tahun lalu, betul-betul di lokasi yang sama. Itulah kenangan bersejarah di PWTC yang tidak mungkin saya lupakan. Masih saya ingat pantun yang saya lontarkan ketika forum Pemuda pada tarikh bersejarah itu,

Hari ini kita bersaksi,
Hari esok menjulang jaya,
Hari ini di PWTC,
Hari esok di Putrajaya…
Dan beberapa bulan kemudian, kita benar-benar berada di Putrajaya!

Saudaraku,

Di waktu itu, termeterainya ikatan persaudaraan antara kita, dua parti Melayu, yang berseteru sekian lama dahulu. Di waktu itu, terzahir semangat dan harapan bersama demi memartabatkan Melayu dan Islam di tanah air. Di waktu itu, tumpahnya titisan air mata menyaksikan berpadunya dua harapan terbesar orang Melayu dan Islam di negara tercinta ini.

Tertanya saya pada waktu itu, apakah yang mengikat dan memaut hati-hati kita untuk bersama, melupakan segala dendam dan permusuhan tika dulu? Jawapannya, kerana kesedaran kita, kesedaran betapa pentingya ukhuwah, dan perpaduan Islam dan Melayu. Ukhuwah dan perpaduan yang selama ini hilang, dikelabui perbezaan fahaman politik yang secubit. Akhirnya dekperbezaan yang secubit itu, kita terus bermusuhan, dan kita terus mundur akibat permusuhan kita. Tanpa kita sedar, permusuhan kita adalah rahmat buat golongan Sekular dan Liberal, yang iri hati dan tidak mahu melihat penyatuan umat Islam dan Melayu. Akhirnya dengan permusuhan itu, Sekularis dan Liberalis ini berjaya memegang puncak kuasa.

Saudaraku,

Atas kesedaran itu, kita lupakan semua persengketaan kita. Kita bersama sebagai koalisi Pembangkang, menggegar Dewan Rakyat mengancam polisi yang tidak menguntungkan Islam dan Melayu. Kita bersatu hati, bersama NGO-NGO Islam dan Melayu, menentang pencabulan kedaulatan negara dengan cubaan meratifikasi ICERD. Kita himpun seramainya anak muda yang cintakan agama, bangsa dan tanah air, menentang cubaan Sekularis Liberalis ini. Kita satukan juga suara dan undi kita, dalam semua Pilihan Raya Kecil pasca PRU-14, menyaksikan kemenangan BN di 7 kerusi. Lalu akhirnya, kita meterai ukhuwah dan persaudaraan kita, atas janji suci, dengan koalisi bernama Muafakat Nasional. 

Saudaraku,

Begitu indah ukhuwah dan persaudaraan yang dibina, atas kesedaran kita perlunya kita bersatu. Namun apabila menyebut penyatuan, adakah ianya kerana kita PAS dan Umno? Tidak saudaraku. Penyatuan ini bukan kerana kita PAS dan Umno. Penyatuan ini bukan penyatuan dua parti. Tetapi lebih besar, penyatuan ini adalah penyatuan seluruh umat Islam dan anak Melayu, tanpa mengira latar belakang, status darjat, mahupun fahaman politik. Penyatuan ini adalah demi Islam dan Melayu, demi maruah bangsa kita, demi anak cucu kita. Inilah asas kesedaran kita. Dan inilah asas kita duduk dan bersatu.

Saudaraku,

Kala waktu ini, berbagai konflik dan polemik terzahir yang menguji ukhuwah dan ikatan persaudaraan kita. Berbagai cubaan dibuat, baik dari luar mahupun dari dalam, untuk merenggut persaudaraan kita. Namun nikmat penyatuan ini sebenarnya lebih besar dari konflik yang kita lalui. Hasrat dan harapan anak bangsa kita lebih besar dari kepentingan diri, atau parti. Maka, pertahankan dan peliharalah penyatuan ini. Jangan dirosakkan ia kerana ego dalam diri. 

Ingatlah segala perjuangan kita menentang Sekularis dan Liberalis dalam kerajaan dahulu, yang gagal dan terus gagal kerana persaudaraan ini. Ingatlah tititan air mata yang tumpah, di dewan dan bangunan yang sama kalian akan adakan perhimpunan hari ini. Janganlah titisan air mata itu mengalir lagi, kerana perpecahan kita yang merugikan, setelah kita bersatu hati.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

(ali-Imran: 103)

Terima kasih saudaraku kerana membaca warkah ini. Selamat bersidang, demi agama, bangsa dan negara.

Saudaramu,

AHMAD FADHLI SHAARI
27 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 27/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails