Wednesday, March 24, 2021

X ugut, hanya peringatan. 'seghiau jugak nu...'

 

Muhammad Sanusi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, hari ini.- NSTP/ Luqman Hakim Zubir

Kedah nafi ugut Pulau Pinang guna air selut

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak pernah mengugut Kerajaan Pulau Pinang yang mungkin terpaksa menggunakan 'air selut' sebaliknya ia hanya satu peringatan berikutan Kedah dijangka melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) pada tahun ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata terdapat 14 TAPS akan dibina untuk menakung air bagi menstabilkan paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.

"Saya maklumkan supaya mereka bersedia sebab kita akan buat projek TAPS. Kita akan takung air Sungai Muda sewaktu banyak dan setiap 14 TAPS ada kawasan takungan besar dengan kedalaman 20 hingga 30 meter serta lebar sehingga satu kilometer.

"Selut terjadi apabila air tinggal sedikit, siapa biasa mandi sungai akan tahu ketika air banyak ia jernih dan laju, tetapi apabila air perlahan dan tinggal sedikit akan jadi berselut.

"Jadi Pulau Pinang kena bersedia dengan keadaan ini kecuali dia berpakat dengan kita. Kita kena rancang untuk elakkan mereka minum selut (lumpur), jika tak pakat dan tak buat bayaran caj air mentah kita rancang untuk kita sahajalah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan perbincangan dengan Kerajaan Pulau Pinang untuk menentukan kadar caj bekalan air mentah perlu dibayar kerajaan pimpinan DAP itu.

"Kita bukan tutup pintu rundingan, kita sedia berunding mengenai bayaran air mentah... bukan tidak mahu bagi air, tetapi kena bayarlah sebab kita ada kos penyelenggaraan untuk kawasan tadahan," katanya.

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga akan membina baraj baharu untuk memastikan pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung pada musim kemarau akibat kekurangan air.

Katanya, selepas paras air Sungai Muda dapat distabilkan, kapasiti pengaliran air dari sungai itu akan dapat dikawal pada masa depan.

"Dulu masa buat projek tebatan banjir kelebaran sungai ditambah menyebabkan paras air turun, projek itu tidak disekalikan dengan menjajarkan semula kedudukan pam di rumah pam sepanjang Sungai Muda, menyebabkan ia tergantung ketika air kurang.

"Peruntukan bagi projek TAPS daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebab ia berkaitan air mentah. Projek ini bukan untuk kegunaan atau minuman penduduk Kedah saja, sebaliknya Kedah membekalkan 42 peratus padi untuk negara, jadi sumber air ini untuk pertanian juga," katanya.

Komen Weblog Ibnu HasyimX ugut, hanya peringatan. 'seghiau jugak nu...'

No comments:

Post a Comment