Monday, April 19, 2021

11 maut nahas kereta api di Mesir

 

Kren mengangkat gerabak kereta api penumpang yang tergelincir daripada landasan dalam nahas kereta api di Toukh, utara Kaherah. - Foto EPA

Orang ramai berada di lokasi kejadian nahas kereta api yang tergelincir daripada landasan di Toukh, utara Kaherah. - Foto EPA

KAHERAH: Seramai 11 orang maut manakala 98 lagi cedera dalam nahas kereta api di utara bandar raya ini semalam, kata Kementerian Kesihatan Mesir.

Menurut kementerian itu, nahas itu berlaku di Toukh, sebuah bandar pertanian kecil di Delta Nil yang subur sekitar 40 kilometer (25 batu) di luar ibu kota.

Katanya, empat gerabak kereta tapi yang menuju dari Kaherah ke Mansoura, sebuah bandar Delta, dikatakan tergelincir dan keluar dari landasan.

"Puluhan ambulans bergegas ke lokasi dan pegawai penyiasat sudah dikerah untuk menyiasat punca kemalangan," menurut kenyataan itu.

Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi semalam turut mengarahkan pihak berkuasa kejuruteraan tentera menyiasat insiden terbaru, yang berlaku sebulan selepas nahas kereta api yang mengakibatkan 20 orang terbunuh.

Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa pemandu dan pegawai kereta api sudah ditahan untuk disoal siasat.

Kementerian Kesihatan Mesir juga berkata, 14 penumpang kereta api yang mengalami cedera ringan sudah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan dengan lokasi kemalangan.

Nahas kereta api di Mesir umumnya dikaitkan dengan infrastruktur dan penyelenggaraan yang buruk.

Sepanjang bulan lalu, sekurang-kurangnya 20 orang mati dan 199 cedera bulan lalu dalam nahas kereta api di negara utara Afrika itu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Mesir, Kamel el-Wazir menyalahkan kejadian nahas membabitkan kereta api di negara itu sebagai 'kesalahan manusia'.

"Kami memiliki masalah dengan unsur manusia," katanya pada sebuah acara bual bicara TV, di mana dia berjanji untuk membangun jaringan automatik pengangkutan kereta api pada 2024. - AFP

Orang ramai meninjau di bawah gerabak kereta api yang tergelincir daripada landasan dalam nahas kereta api di Toukh, utara Kaherah. - Foto AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails