Tuesday, April 20, 2021

3 ditahan terbabit dua lagi iklan judi raya

 

Iklan terbaru yang dikesan tersebar untuk mempromosi kegiatan judi dalam talian bertemakan sambutan Aidilfitri di media sosial. - Foto ihsan PDRM

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu di sekitar ibu negara semalam, selepas disyaki terbabit dalam pembikinan dua lagi video mempromosi kegiatan judi dalam talian.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak empat video setakat ini yang dikesan mempromosikan kegiatan itu bertemakan Aidilfitri di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua suspek berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima dua laporan membabitkan isu video berdurasi 48 dan 30 saat itu.

Katanya, ketiga-tiga suspek masing-masing dua wanita dan seorang lelaki akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi (menyebarkan) video itu. Perbuatan berkenaan bukan saja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam.

"Kita tidak akan berkompromi ke atas semua pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video ini serta tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lima individu termasuk suspek utama terbabit dalam pembikinan video iklan perjudian Hari Raya diberkas kelmarin.

Semua mereka ditahan selepas disyaki terbabit dalam dua video mempromosi aktiviti judi dalam talian yang dikesan tular di laman sosial sejak minggu lalu.

Dua video mempromosi aktiviti judi atas talian itu menggunakan website IBO003 dan Bet333, memaparkan beberapa individu berada dalam kesempitan wang secara tiba-tiba menjadi kaya selepas membuka laman web perjudian berkenaan, sebelum dapat berhari raya di kampung halaman.

1 comment:

Anonymous said...

Tuan depa dap. Walaupun salah dap tetap buat juga. Kemudian khadam guna pas sebagai bahan cacian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails