Masyarakat Pulau Ketam mesra pengunjung
SUNYI daripada deruan enjin kereta, begitulah suasana persekitaran kampung di Pulau Ketam yang berada tidak jauh dari pelabuhan Klang, Selangor.
Pulau Ketam majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Cina menjadikan pengunjung merasakan seolah-olah berada di luar China.
Mengambil masa selama 40 minit perjalanan menaiki bot untuk sampai ke sana, mata penulis disajikan dengan keindahan alam semula jadi nan indah pada waktu petang yang memaparkan pemandangan matahari terbenam.
Setibanya di sana, penulis terpegun dengan seni bina teratak di tengah pulau itu, hampir semuanya menggunakan kayu, suasana seolah-olah berada di dalam studio dengan terdapat paparan tulisan cina.
Dalam perjalanan menuju ke tempat rehat, keadaan jalan yang dilalui sangat sempit dan perlu berhati-hati kerana berkongsi laluan dengan basikal elektrik yang menggunakan jalan yang sama.
Buat pengetahuan umum, basikal elektrik adalah kenderaan utama masyarakat di sana. Malah ada juga yang menggunakan basikal biasa, namun tidak banyak.
Apa yang menariknya di sana mereka juga mesra dengan pengunjung, jadi orang Islam tidak perlu risau untuk datang bercuti ke Pulau Ketam.
Selain itu, di sana juga terdapat satu balai Islam yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung Islam untuk bersolat dan mendengar tazkirah.
Penulis kemudian dibawa ke Maahad Tahfiz Mandarin (MTM) Pulau Ketam, iaitu sebuah tahfiz yang menerapkan kemahiran berkomunikasi di dalam Bahasa Mandarin kepada para pelajarnya.
Kalau di daratan, melihat pelajar tahfiz itu perkara biasa dan tidak ganjil, namun sebaliknya di Pulau Ketam apabila orang Islam menjadi minoriti di sana.
Penuh rasa ingin tahu, Harakahdaily menemubual beberapa penduduk Pulau Ketam mengenai pandangan mereka terhadap MTM Pulau Ketam.
Chua Chan Tie, 64, salah seorang ketua kampung di Pulau Ketam, katanya setakat penubuhan MTM, pelajar-pelajarnya dilihat berkelakuan baik dan tidak mendatangkan masalah penduduk kampung.
Katanya, sejak dua tahun beliau menjadi ketua kampung, beliau yakin pelajar-pelajar MTM semuanya baik dan diterima baik oleh penduduk.
“Sekolah tahfiz OK, orang kampung Pulau Ketam baik, kacau atau mencuri tak ada,” katanya.
Mempromosi Pulau Ketam kepada Harakahdaily, kata Chan Tie, Pulau Ketam terkenal dengan makanan laut. Namun kos untuk hidangan sayuran, daging ayam dan lembu agak tinggi memandangkan mereka perlu membawanya dari daratan.
“Barang basah semua beli di atas pasar borong. Harga mahal sikit kerana perlu menaiki bot. Apa-apa sayur mahal la. Di sini tak ada tanah,” kata beliau.
Sementara itu, Chua Chan Sheng, 67, berkata beliau amat gembira dan tiada masalah dengan kewujudan MTM.
“Saya juga ada kawan Muslim dan mereka OK saja,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga makanan, Saslinawati Jalil, 37 atau mesra disapa Kak Ngah berkata, dengan kewujudan MTM, amat memberi manfaat kepada beliau dan keluarga.
Katanya, sekurang-kurangnya beliau dapat mendengar azan berkumandang di Balai Islam tersebut berbanding sebelum ini yang jarang diimarahkan.
Beliau yang berasal dari Melaka berkata pembukaan tahfiz sekurang-kurangnya mengingatkan kepada solat lima waktu.
“Alhamdulillah ada azan di sini, kalau tidak terkontang-kanting surau. Kedai dekat dengan surau, senang la kalau ada orang nak makan ke apa,” katanya.
Kak Ngah membuka kedai makan berhadapan Balai Islam Pulau Ketam hampir enam tahun dengan menjual sate dan nasi lemak.
Tambah Kak Ngah, 80 peratus pembeli di kedainya terdiri daripada masyarakat Cina.
“Mereka sangat suka nasi lemak dan sate. Saya buka kedai hujung minggu sahaja, tapi kalau saya tak buka kedai mesti peniaga lain akan tanya kenapa tak buka.
“Tak sama dengan senario di daratan yang kebanyakannya takut untuk bersaing, dekat sini mereka suka bersaing walaupun berniaga benda yang sama,” katanya.
Beliau menguasai tiga bahasa membuatkan petah dan senang untuk tinggal di sana. Antara bahasa yang digunakan ialah Bahasa Mandarin, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Memandangkan Kak Ngah hanya membuka gerainya pada malam minggu, agak sukar untuk mencari makanan halal di Pulau Ketam pada waktu lain.
Mujur penulis dilayan baik oleh pihak pengurusan MTM dan tidak perlu risau mengenai makanan.
Namun, Kak Ngah juga ada menyediakan catering untuk sesiapa yang berminat dengan minimum tempahan 10 bungkusan.
Sementara itu, MTM juga masih membuka ruang untuk mereka yang berminat mendaftarkan anak-anak di MTM Pulau Ketam, Kepong dan Kulim. Maklumat lanjut boleh rujuk di laman Facebook rasmi Maahad Tahfiz Mandarin. – HARAKAHDAILY 9/4/2021
Sila lihat: Kisah perjalalan Ibnu Hasyim di Pulau Ketam -Wednesday, May 09, 2007
No comments:
Post a Comment