Festival Kumbh Mela dihadiri jutaan penganut Hindu. - Foto EPA
Lebih 2,000 dijangkiti COVID-19 di Sungai Ganges
NEW DELHI: Seorang ketua agama Hindu meninggal dunia akibat COVID-19, manakala 80 yang lain disahkan positif selepas menyertai festival Kumbh Mela yang turut dihadiri jutaan individu lain.
Pengumuman berkenaan dibuat pihak berkuasa Haridwar di Uttarakhand selepas India merekodkan lebih 217,000 kes jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 India kini melebihi dua juta sejak awal bulan ini.
Festival Kumbh Mela menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pakar kesihatan yang menyifatkannya boleh menjadi perebak utama ketika peserta pulang ke kediaman masing-masing di seluruh India.
Perhimpunan yang berlangsung di tebing Sungai Ganges itu berlangsung setiap 12 tahun, dan menarik penyertaan sehingga 25 juta individu ke lokasi berkenaan sejak Januari.
Pada minggu ini saja, seramai 4.6 juta individu mengunjungi lokasi berkenaan.
Sebahagian besar peserta mengingkari arahan pemakaian pelitup muka.
Pegawai festival, Harbeer Singh, berkata seramai 2,000 individu disahkan positif hasil ujian rambang dilakukan pada festival berkenaan.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga dan meminta orang ramai menjaga jarak fizikal," katanya.
Menurutnya, lebih 25,000 penganut Hindu masih melawat lokasi berkenaan setiap hari dan mereka menjangkakan dua hingga tiga juta lagi akan tiba pada acara mandi utama pada 27 April nanti sebelum festival itu berakhir.
Kerajaan negeri Uttarakhand menarik larangan perhimpunan dengan had 200 peserta.
Ketua Menterinya, Tirath Singh Rawat pada awal April berkata, peserta acara itu tidak akan diganggu berhubung larangan COVID-19.
Beliau kemudiannya disahkan positif COVID-19. - AFP
1 comment:
menakutkan covid kat sana..
Post a Comment