Sunday, April 18, 2021

Kerugian pembeli rumah terbengkalai, apa PH buat? -Bendahari PAS.

 

Rampas aset pengarah projek terbengkalai

PEMBELI-pembeli rumah sudah tentu menyambut baik pengumuman Menteri Perumahan, Datuk Zuraida Kamaruddin, bahawa Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) atau Akta 118 akan dipinda untuk memberi lebih perlindungan kepada mereka jika berlaku projek terbengkalai.

Katanya di Kuching pada 13 April lepas perlu terdapat tindakan yang lebih tegas ke atas pemaju-pemaju. Beliau juga mencadangkan pemaju-pemaju perlu menyumbang kepada satu tabung yang boleh digunakan untuk membantu memulihkan projek jika terbengkalai.

Tidak nampak mana-mana pengarah projek terbengkalai yang dihumban ke dalam penjara.

Sebenarnya Akta 118 telah dipinda dalam tahun 2014 untuk menghukum pemaju-pemaju. Menurut Seksyen 18A (1), pemaju-pemaju projek terbengkalai boleh dipenjara sehingga 3 tahun dan didenda sehingga RM500,000. Walau bagaimanapun kita tidak nampak mana-mana pengarah projek terbengkalai yang dihumban ke dalam penjara.

Justeru itu yang perlu ditambah baik adalah penguatkuasaan dan pendakwaan. Mereka yang terlibat dengan projek terbengkalai masih bebas membangunkan projek-projek lain dengan menggunakan syarikat baru atau proksi-proksi mereka. 

Mereka masih boleh hidup mewah dan kaya raya walhal pembeli-pembeli rumah yang menjadi mangsa menanggung derita. Kesan kepada kesihatan akibat tekanan dan hubungan suami isteri yang terjejas adalah di antara natijah projek terbengkalai kepada para pembeli rumah.

Cadangan untuk mewujudkan satu tabung khas untuk memulihkan projek terbengkalai juga dialu-alukan. Menteri telah mencadangkan pemaju-pemaju menyumbang kepada tabung ini untuk memastikan projek dapat disiapkan jika terbengkalai. 

Ia adalah satu langkah ke hadapan ke arah menyelesaikan masalah yang membelenggu pembeli rumah. Walau bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan kajian yang terperinci agar tabung ini dapat mencapai matlamatnya.

Ketika saya merupakan Exco Perumahan Negeri Selangor dahulu, terdapat sebuah projek terbengkalai di Ampang di mana pembeli-pembeli telah membelinya dengan harga di antara RM90,000 hingga RM130,000 sebuah. Apabila kontraktor penyelamat datang untuk memulihkan projek tersebut, kerajaan negeri telah membuat anggaran kos untuk menyiapkam projek itu. 

Kami mendapati kos untuk menyiapkan sebuah rumah adalah secara purata RM290,000. Oleh yang demikian kos tambahan yang diperlukan bagi setiap rumah adalah sekurang-kurangnya RM200,000 tetapi siapa yang akan menanggung kos tersebut? Saya tidak fikir sebarang sumbangan dari pemaju akan dapat menampung kos tersebut.

Selalunya para pembeli rumah akan meminta kerajaan negeri menampung kos menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai. Ketika Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor telah ditubuhkan satu tabung khusus untuk membaikpulih projek-projek terbengkalai yang bernama Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai atau TEPAT. Di peringkat kerajaan persekutuan juga terdapat dana yang serupa.

2 Masalah Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai PH.

Masalah utama tabung ini adalah jumlah dana yang diperuntukan adalah lebih rendah dari jumlah yang diperlukan untuk menyiapkan projek-projek tersebut. Masalah kedua adalah persoalan sama ada wajar duit kerajaan atau duit rakyat digunakan untuk menyelamatkan pemaju-pemaju. Walaupun tabung ini membantu rakyat tetapi pemaju-pemaju terlepas dari tanggungjawab mereka.

Pemaju projek-projek terbengkalai selalunya akan mengisytiharkan mereka tidak memiliki dana yang secukupnya untuk menyiapkan projek mereka. Syarikat-syarikat akan digulung. Aset-aset yang dimiliki syarikat tidak dapat menampung kos.

 Akhirnya pembeli-pembeli rumah akan menanggung kerugian. Justeru itu kenapa tidak dirampas aset-aset Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat tersebut? Gunakan aset-aset itu untuk menyiapkan projek atau sekurang-kurangnya membayar gantirugi kepada pembeli.

Gunakan juga aset syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan syarikat yang memajukan projek terbengkalai tersebut. Amalan menamakan proksi sebagai Ahli Lembaga Pengarah perlu dibanteras. Ada yang menggunakan nama kakitangan syarikat seperti pemandu peribadi untuk melepaskan diri dari tindakan.

Untuk melakukan semua ini mungkin bukan sahaja Akta 118 yang perlu dipinda. Akta-akta lain juga perlu dipinda. Kerajaan perlu melakukannya untuk memastikan rakyat tidak lagi menjadi mangsa. Kerajaan boleh merampas aset-aset pengedar dadah. 

Kerajaan boleh merampas aset mereka yang terlibat dengan rasuah. Pemaju yang tidak bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sama seperti pengedar dadah dan penerima rasuah. Kesengsaraan yang ditanggung oleh mereka yang menjadi mangsa adalah sama.

Walau bagaimanapun untuk memastikan mereka yang memajukan projek perumahan memiliki dana yang secukupnya maka kebenaran untuk menjual hanya diberikan setelah sesuatu projek itu siap dibina. 

Jika tidak selepas 100 peratus siap dibina seperti ‘Bina Dan Jual’ (BTS), kebenaran hanya diberikan setelah 75 peratus siap. Mungkin ini adalah jalan yang terbaik agar tidak ada lagi pembeli rumah yang menjadi mangsa. – HARAKAHDAILY 18/4/2021




Penulis ialah Bendahari PAS Pusat.

1 comment:

Anonymous said...

Kerajaan dulu dikontrol oleh dap. Dap ni ada simpan dlm hati nak lingkupkan penduduk asal negara ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails