KERAJAAN kini giat mempromosikan penanaman kenaf di seluruh negara dan Perak merupakan salah satu negeri yang berpotensi serta berminat untuk memperluaskan tanaman komoditi berkenaan.
Program penanaman kenaf di negeri ini adalah bertujuan untuk mempromosikan komoditi itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan baharu kepada penduduk setempat dengan memberikan tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.
Bagi tahun ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan tanaman kenaf di Perak seluas 80 hektar. LKTN telah mengenal pasti dua kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis tanaman kenaf iaitu di Lambor, Perak Tengah dan Slim River, Muallim.
Usaha ini adalah antara komitmen Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk mempopularkan kenaf sebagai komoditi masa hadapan apabila hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Kenaf di Kg. Balun, Slim River diikuti Majlis Pelancaran Penuaian Kenaf di Kg. Lambor, Perak Tengah, Perak esok.
Projek perintis tanaman kenaf di Slim River, Muallim dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pondok Muallim melibatkan kawasan kelompok seluas 4 hektar. Potensi tanaman kenaf di sekitar kawasan projek perintis adalah seluas 20 hektar.
Sementara itu, Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar. Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa.
Namun sasaran awal ialah penanaman di Lambor seluas 60 hektar secara berperingkat. Ia melibatkan 30 pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek adalah kira-kira sebanyak RM240,000 semusim. Sehingga 15 April 2021, seluas 5 hektar tanaman kenaf telah ditanam.
Konsep tanaman yang dijalankan adalah secara integrasi tanaman kelapa sawit dan kenaf. Kesesuaian umur pokok kelapa sawit adalah 2 tahun ke bawah. Nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding tanaman kenaf adalah 4:1. Pemilihan peserta bagi projek ini adalah dalam kalangan penduduk setempat bawah kategori penerima bantuan zakat (asnaf) Kerajaan Negeri Perak.
Kerjasama strategik antara LKTN dan PPPNP adalah untuk membangunkan industri kenaf di Perak di samping mempromosikan kenaf kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana melalui industri kenaf. Pendekatan kerjasama ini juga merupakan salah satu strategi LKTN untuk memperkembangkan kawasan penanaman kenaf dan juga pembangunan industri hiliran kenaf ke seluruh Malaysia.
Menjadi harapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya usaha memperluaskan tanaman kenaf ini sebagai sumber ekonomi dan pendapatan yang baharu kepada penduduk setempat berterusan dengan galakan dan sokongan oleh LKTN sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan komoditi itu.
DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Slim River, Perak
21 April 2021 – HARAKAHDAILY 21/4/2021
No comments:
Post a Comment