Sunday, April 18, 2021

Negara kebajikan berciri roh Islam. Bagaimana? -Ust.Syahbudin Senin.

 

Negara berkebajikan: Konsep PAS berbeza barat

ALOR GAJAH: PAS Alor Gajah menyahut penegasan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung konsep negara berkebajikan bercirikan roh Islam.

Konsep tersebut berbeza dengan teori sempit barat yang hanya sekadar berkonsepkan kebajikan masyarakat semata-mata.

“Rukun iman menjadi tunjang kepada konsep kebajikan ini yang menjadi asas kepada amal soleh dengan maksud yang luas.

“Ia melibatkan seluruh anggota masyarakat tidak kira pemimpin atau rakyat yang berkonsepkan adil terhadap semua,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin.

Menurut beliau, konsep ini terlaksana dengan menunaikan amanah iaitu dalam hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia dalam semua jenis urusan dengan istiqamah dan tugas yang berkaitan diberikan kepada orang yang layak.

“Pemimpin yang layak iaitu dari segi iman, ilmu dan integriti akan melaksanakan konsep adil kepada semua manusia bukan sahaja dalam aspek undang-undang malah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya,” tegas beliau.

Tambah Ustaz Syahbudin lagi, dengan kepimpinan yang layak seperti ini akan memanfaatkan sumber alam dan pendapatan negara dengan baik supaya manfaat ini dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat dan seterusnya merapatkan jurang antara kaya dan miskin.

“Dalam masa yang sama, PAS menolak sebarang diskriminasi dan menyeru kepada kebajikan kepada semua (rakyat) tanpa mengira kaum, fahaman politik serta wilayah, sekali gus menolak amalan kronisme, nepotisme dan monopoli yang menekan rakyat.

“Dengan makna lain, pembangunan modal insan yang berkualiti dan berintegriti adalah sangat penting demi kemakmuran negara yang lebih baik pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.

Ustaz Syahbudin berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sumbangan Sempena Ambang Ramadan anjuran Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) PAS Rembia, di sini pagi semalam.

Dalam program tersebut, Ustaz Syahbudin mewakili JPrD PAS Rembia menyampaikan sumbangan berupa kit makanan dan wang tunai kepada 21 orang penerima yang rata-ratanya dari DUN Rembia.

Salah seorang penerima yang tidak mahu dikenali merakamkan ucapan syukur dan terima kasih kepada JPrD PAS Rembia kerana dengan sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi di saat pandemik ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah JPrD PAS Rembia, Ustaz Muhammad Hatin Mohd Yusof, Ketua Muslimat PAS Kawasan Alor Gajah, Rosela Alwi, Ketua Pemuda PAS Kawasan Alor Gajah, Khanapiah Nor dan kalangan ahli PAS Kawasan Alor Gajah. – HARAKAHDAILY 11/4/2021

No comments:

Post a Comment