Wednesday, April 21, 2021

Penantian puluhan tahun hingga kini 600 lesen lulus.. Dr Azman

 

600 lesen dilulus untuk nelayan sampan Zon A

PENANTIAN puluhan tahun nelayan sampan Zon A untuk memiliki lesen berakhir jua. Dari jumlah 600 lesen yang diluluskan untuk Negeri Terengganu, kita mulakan agihan secara berperingkat daerah demi daerah setelah semua urusan teknikal diselesaikan bermula dengan Daerah Besut dan Setiu.

Masih kami ingat bagaimana kami bekerja memikul harapan besar para nelayan dengan penuh tersusun. Bermula dari menubuhkan Jawatankuasa Task Force Lesen Nelayan, mengadakan mesyuarat demi mesyuarat sehingga dikeluarkan pemutihan senarai nelayan-nelayan yang perlu dipertimbangkan bersama Jabatan Perikanan, LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan.

Akhirnya disiapkan kertas untuk diangkat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Kita tapis seramai 800 pemohon yang layak, Kerajaan Negeri yang angkat permohonan bagi pihak rakyat bukan rakyat angkat sendiri. Disusuli beberapa pertemuan dan perbincangan dengan Menteri MAFI serta HQ Jabatan Perikanan. 

Akhirnya dari 800 permohonan, kita diberikan kelulusan peringkat pertama sebanyak 600 lesen. Baki 200 kita susuli dengan rayuan fasa kedua. Telah hampir 40 tahun tiada kelulusan besar-besaran seperti ini diberikan.

Tiada kepuasan yang lebih besar sebagai pemimpin lebih dari kita dapat menunaikan hasrat rakyat kita yang dinafikan sejak puluhan tahun lalu. Ramai nelayan yang ke laut sejak remaja sampai tua tapi masih belum memiliki lesen.

Tanpa lesen mereka ibarat cari rezeki secara haram, dinafikan hak elaun sara hidup nelayan, minyak subsidi dan bantuan bencana nelayan. Terengganu adalah negeri yang pertama diberikan kelulusan khas lesen nelayan secara besar-besaran sekali gus. Terima kasih semua. Tiada kata mampu menggambarkan kepuasan dan kegembiraan ini.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 20/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails