Sunday, April 18, 2021

Perkukuh hubungan Malaysia, Arab Saudi

 

KUALA LUMPUR: Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan mengunjungi pejabat Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, semalam.

Duta Besar Arab Saudi itu diiringi oleh Atase Agama Sheikh Abdul Rahman Al Robaian serta pegawai daripada pejabat kedutaan Arab Saudi ke Malaysia.

Menurut Marzuk, semasa kunjungan hormat berlangsung, Dr Mahmoud Hussein juga telah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat sempena bulan Ramadan al-Mubarak.

Sumbangan tersebut merupakan hadiah daripada Penjaga Dua Tanah Suci Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud. Majlis penyerahan sumbangan disaksikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

“Dalam ucapan, saya menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi umpama dua negara yang bersaudara.

“Saya juga menyentuh agar hubungan yang erat terjalin ini dapat diperkukuhkan lagi pada masa akan datang,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya malam ini.

Katanya, kerjasama erat dalam bidang pendidikan dan dakwah harus dipertingkatkan dari masa ke semasa. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan daripada pihak duta Arab Saudi itu.

Ini, ujarnya bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim, bermaksud: Allah SWT sentiasa menolong hambanya selagi mana hamba tersebut menolong saudaranya.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada duta tersebut atas sumbangan yang diberikan dan turut mendoakan agar Allah SWT memelihara Penjaga Dua Tanah Suci Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails