KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta sebagai ganti rugi yang dialami peniaga yang terjejas ekoran operasi bazar Ramadan dibatalkan di seluruh Kelantan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu sebagai sagu hati kepada peniaga yang terkesan dengan pembatalan bazar tahun ini.
Katanya, pembatalan itu dibuat secara tiba-tiba bagi menyekat penularan Covid-19.
“Kenapa tidak umum sebelum ini kerana tiada data berkaitan jumlah peniaga terlibat. Dan hari ini setelah membuat tinjauan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan terdapat 2,500 peniaga berdaftar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahad lepas kerajaan negeri mengumumkan membatalkan Bazar Ramadan dan Madinah Ramadan disebabkan penularan wabak Covid yang semakin meningkat sekarang.
Dr Izani juga berkata, langkah itu dilaksanakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 yang mencatatkan kadar keboleh jangkitan tinggi kebelakangan ini.
Menurutnya juga pemberian saguhati itu merupakan hasil perbincangan dengan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nazran Muhamad.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri hanya membatalkan bazar Ramadan manakala aktiviti jual beli di tepi jalan masih diberikan kebenaran selagi pematuhan SOP diamalkan.
“Kita hanya membatalkan bazar, saya tidak sentuh yang lain, kita hanya membatalkan bazar yang ada sebelum ini, yang lain-lain termasuk berniaga di tempat lain kita tidak ganggu.
“Cuma kita minta patuhi SOP sebaik mungkin. Sekiranya pihak berkuasa membuat kawalan menyaksikan pematuhannya tidak berlaku, kita tidak teragak-agak untuk menarik balik,” kata beliau.
Bagaimanapun katanya sekiranya kes harian Covid-19 di Kelantan tidak menunjukkan tanda-tanda menurun, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik semula kebenaran tersebut. – HARAKAHDAILY 13/4/2021
1 comment:
Sangat baik dibatalkan kecuali telah terima suntikan. Cegah lebih baik dari rawat.
Post a Comment