Thursday, April 29, 2021

Ramadhan, Badar, &Kemana Politik M'sia Kini? siri 3.

Lihat sebelum ini..

1. Andai tentera Islam kalah?  

Menurut sejarah, peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi agama Islam.  Andaikata tentera Islam kalah dalam peperangan Badar ini maka tamatlah riwayat orang-orang Islam malah agama Islam itu sendiri.  

Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan Munafiqin Madinah. Sebaliknya pengaruh orang Quraisy Makkah mula lemah dan merosot.  

Orang yang ditawan oleh tentera Islam pula, apabila mereka balik ke Makkah setelah dilepaskan, telah menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita ini dengan tidak secara langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Makkah. 

Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari orang Quraisy secara diam telah berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam.  Dengan ini tentera Islam bertambah dari masa ke masa.  

Perang Badar telah memperkuatkan lagi kepercayaan orang Islam kepada nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda SAW dan agama Islam

2. Bukan Islam, sebenarnya tidak bersatu.  

Pengajaran dari peperangan Badar ini menunjukkan bahawa kaum Quraisy tidak bersatu padu. Ini terbukti apabila ada beberapa puak yang menarik diri sebelum perang terjadi. Dengan ini sebagai orang Islam kita perlu bersatu demi mencapai kemenangan.

Kaum Quraisy terlalu yakin yang mereka akan berjaya memusnahkan Islam yang memang sedikit jumlahnya. Tetapi tidak dari semangat. Puak Quraisy tidak dapat mengalah tentera Islam kerana semangat tentera Islam begitu kukuh. Kerana Rasulullah telah berjaya menjalin silaturrahim yang kuat sesama Islam. 

Nabi Muhammad SAW adalah pentabdir yang berkaliber dan pintar mengendalikan tektik peperangan. Orang Islam mempunyai pegangan iaitu berjaya di dunia atau mati syahid, yang juga menang di akhirat. Ertiya tidak ada 'kalah' dalam perjuangan Islam.

3. Semangat Badar, dan kemana politik Malaysia kini?

Sebagai orang Islam kita perlu bersatu demi untuk mencapai kemenangan. Gagasan penyatuan ummah manifestasi daripada roh dan acuan politik yang disajikan melalui perjalanan sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Ketika mengharungi saat-saat getir kedudukan Islam dan kaum muslimin di Mekah, membawa kepada hijrah penyatuan ummah dan tertegaknya negara Islam pertama di Madinah Al Munawwarah.

Kemajmukan Madinah yang menaungi bangsa-bangsa dan kabilah yang berbeza-beza. Bahkan kemajmukan agama juga wujud saat itu tetapi disatukan di bawah panji keadilan Islam yang memerintah. Sehingga bangsa bukan bangsa Arab, agama bukan agama Islam, merasa aman dan selamat ditadbir secara matang dan sejahtera oleh Nabi Muhammad SAW.

'Budaya Politik Matang dan Sejahtera' yang digagaskan oleh Presiden PAS dibawa ke pentas utama berpolitik dalam negara sewajarnya diamalkan oleh semua parti politik. Bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Politik yang meletakkan agenda ummah sejagat dan negara menjadi tunjang utama. Bukan hanya kepentingan peribadi dan kelompok-kelompok tertentu. 

Bukan pula budaya politik ekstrem sehingga melanggar batas perpaduan dan keharmonian negara. Bukan juga pendekatan liberal yang merungkai ikatan agama dan keutuhan bangsa peribumi, teras-pasakan agama Islam sebagai lambang negara Malaysia.

Dalam suasana politik kepartian masa kini, kata  Timbalan Presiden PAS YB Dato Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man: 

“Politik ialah usaha membanyakkan kawan dan mengurangkan musuh. Dalam apa jua muafakat politik, kerusi menjadi persaingan. Dalam satu parti pun ianya menjadi rebutan, apatah lagi dalam gabungan pelbagai parti. 

Namun kaedah perpakatan yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Ada waktu kita kena korban apa yang kita sayang untuk elak mudarat yang lebih besar. Jangan menang sorak, kampung tergadai. Menyanyilah lagu anak kecil bermain api, kalau tidak dihayati, ia akan membakar diri”. -Ibnu Hasyim.

(Bersambung ke 'Ramadhan &Semangat Badar dalam PRU 15. siri 4'

Video.

Lagu Warisan Anak kecil main api - versi asal nyanyian Dato Shagul Hamid


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails