Muhyiddin berbual-bual dengan peniaga dan pengunjung bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya. - Foto Facebook.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan.
Perdana Menteri berkata, penularan COVID-19 masih belum pulih dan rakyat perlu memastikan keselamatan diri serta orang lain.
"Saya berharap pengunjung dapat mematuhi SOP, bukan hanya di bazar Ramadan di Putrajaya tetapi di bazar lain di seluruh negara.
"Keadaan COVID-19 ini belum reda dan kita perlulah berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri dan juga orang di sekeliling," katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook malam ini.
Dalam status sama, Muhyiddin berkata, beliau meluangkan masa membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya selepas selesai waktu bertugas.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat berbual-bual dengan peniaga dan pengunjung selain meninjau tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan, ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya dapati pihak penganjur ada mengambil langkah-langkah perlu. Antaranya memisahkan laluan masuk dan keluar pengunjung, jumlah gerai dikurangkan bagi mewujudkan jarak bersesuaian serta menempatkan petugas bagi mengingatkan pengunjung mengenai pematuhan jarak fizikal.
"Amalkanlah penjarakan fizikal dan cuci tangan menggunakan 'sanitizer' sebelum dan selepas berada di tempat yang dikunjungi ramai orang," katanya.
Beliau turut mendoakan rezeki peniaga dilipat-gandakan sepanjang Ramadan dan dijauhkan daripada jangkitan COVID-19.
No comments:
Post a Comment