Sunday, April 25, 2021

Tanda awal kemelut penolakan kepimpinan Zahid Hamidi akan terus membesar?

 

Salim (duduk, tengah) pada sidang media di Kangar, hari ini. - NSTP/AIZAT SHARIF

UMNO Bahagian Arau tolak pelantikan Azlan ganti Shahidan

KANGAR: Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu, dilanda kemelut apabila UMNO Bahagian Arau menolak Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, mengisi jawatan itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Salim Dahaman, memaklumkan bahawa pihaknya sukar bekerjasama dengan Azlan yang didakwa tidak berusaha mahupun memberi bantuan untuk memperkasakan UMNO Perlis sebelum ini.

"Jika beliau (Azlan) sebagai Menteri Besar memang sudah menjalinkan kerjasama dari awal lagi dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis terdahulu (Datuk Seri Shahidan Kassim), kami boleh terima.

"Bagaimanapun, beliau tidak mahu pun bekerjasama dengan Pengerusi terdahulu. Justeru, bagaimana kami hendak bekerjasama dengan beliau?

"Setiap kali mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perlis pula, beliau bukannya mahu hadir," dakwanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Azlan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu untuk menggantikan Shahidan, berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Salim menegaskan, UMNO Bahagian Arau berharap Ahmad Zahid akan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

"Malah jika dilihat dari segi rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar mencatat keputusan cemerlang.

"UMNO Bahagian Kangar bawah Azlan sebaliknya pula mengalami kekalahan dengan tiga kerusi, termasuk Parlimen Kangar, jatuh ke tangan pembangkang.

"Selain itu, pengalaman dan usaha Shahidan mendekati rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat negeri ini telah menjadi lambang kekuatan UMNO Perlis selama ini," katanya.

Salim menjelaskan, pihaknya bagaimanapun tidak akan meninggalkan UMNO, malah berkeyakinan bahawa Shahidan juga akan terus bersama parti itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah ini tanda-tanda awal kemelut penolakan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan terus membesar?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails