PASIR MAS: Tren Diesel Multiple Unit (DMU) mesra pelanggan telah dilancarkan secara rasminya hari ini oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir Wee Ka Siong.
Tren bernilai RM385 juta itu juga merupakan hadiah istimewa dari kerajaan Persekutuan untuk warga Pantai Timur khususnya Kelantan dan Pahang.
Lebih menarik tren ini turut mengutamakan warga emas, pelajar sekolah dan Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mudah menaikinya berbanding tren sebelum ini.
Ka Siong berkata, DMU dilengkapi pelbagai kemudahan canggih dan mesra pengguna.
“Semua tempat duduk adalah sama, tiada beza antara VIP (orang kenamaan), orang biasa mahupun OKU.
“Ia dilengkapi tempat simpan beg, soket kuasa (tujuan pengecasan), bilik solat dan tandas lebih selesa serta mampu memenuhi keperluan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran tren berkenaan di perkarangan stesen KTM Pasir Mas, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri, Dato’ Azami Mohd Nor, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.
Katanya, DMU di sektor Pantai Timur ini diharap mampu memperkasakan lagi pengangkutan di Kelantan dan Pahang khususnya pengguna yang menjadikan tren sebagai pengangkutan utama dalam urusan harian.
Beliau berkata, situasi itu dapat dilihat di Dabong dan Kuala Geris apabila tren menjadi pengangkutan rasmi pelajar dari kawasan tersebut untuk ke sekolah.
Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, tren tersebut dilihat menyediakan satu persekitaran lebih kondusif untuk pelajar.
Katanya, ia merupakan satu transformasi kerajaan untuk memberi manfaat kepada pelajar menerusi pas tanpa had hanya dengan bayaran RM5 sebulan atau dikenali sebagai MyRail5.
“PAS ini membolehkan pelajar menggunakan tren tanpa had untuk berulang alik ke sekolah atau ke mana-mana destinasi.
“MyRail5 turut diberikan kepada OKU dengan syarat mereka perlu mendaftar di mana-mana stesen tren atau secara dalam talian atau belian tunai di kaunter tiket KTM,”ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2021
No comments:
Post a Comment