Shahidan pada sidang media selepas digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim hari ini, mendakwa wujud usaha terancang dalam UMNO untuk membentuk satu kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu sidang media malam ini, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu, berkata usaha berkenaan sudah dimulakan sejak beberapa bulan lalu membabitkan beberapa pemimpin UMNO sendiri.
"Gerakan untuk menyokong Anwar digerakkan di Parlimen. Saya menyimpan benda itu, tapi untuk menjaga aib di dalam parti saya tidak bersuara," katanya.
Ditanya sama ada ia menjurus kepada kerjasama untuk menukar kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedia ada atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Shahidan berkata, akan menjelaskan mengenai perinciannya selepas Aidilfitri ini.
"Saya akan cakap lepas raya. Saya tahu banyak benda. Tapi saya jaga keharmonian parti. UMNO masih parti yang kuat.
"Kalau saya tak dedahkan, saya akan tulis dalam tesis saya, tiada siapa boleh pertikaikan. Apa pun, ini bulan puasa kita jumpa lepas raya dan saya akan buat satu lagi kenyataan," katanya.
Shahidan juga menggesa Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan terhadap pemimpin berkenaan, termasuk mereka yang menulis surat menyatakan sokongan kepada Anwar dan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
"Kita kena ambil tindakan disiplin terhadap orang yang melanggar keputusan parti. Siapa yang tulis surat sokong Anwar kena siasat dan ambil tindakan," katanya sambil menjelaskan tindakan itu perlu kerana UMNO sudah mengambil pendirian 'No DAP, No Anwar dan No PKR'.
Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini yang menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan kerajaan PN adalah selari dengan pendirian serta keputusan parti.
Katanya, beliau juga sedia menarik kerjasama dengan BERSATU apabila tibanya PRU akan datang.
"Sekarang ini PRU pun belum tahu bila. Jadi kita sokong kerajaan yang ada sampai PRU. Apa salahnya. Itu keputusan parti kita akan sokong sampai PRU.
"Masa PRU barulah kita akan tarik (sokongan). Saya ikut kalau itu keputusan parti," katanya.
Mengulas mengenai penggugurannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, beliau menyerahkan dan mengikut keputusan yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya hormat keputusan parti. Itu hak presiden," katanya.(BH)
3 comments:
Wak dlm proses jual agama dan bangsa bersama presiden parti liberal. Kerana kedudukan dan jawatan, maruah agama dan bangsa sedang dijual.
bila igp lantikan kartel kerala penyangak judi online lenggang kankung ke mahkamah tak bergari pakai baju Polo lagi... peerghh
Perangai dap mcm tu. Minta maaf pun dlm bahasa cina.
Post a Comment