Saturday, May 08, 2021

2 Berita gembira Dr Mohd Khairuddin. Harga sawit &produk kayu.. PH??

 

1. Harga buah tandan segar sawit catat rekod tertinggi

KUALA LUMPUR: Buah tandan segar (BTS) sawit yang lazimnya diniagakan pekebun kecil kelapa sawit merekodkan kenaikan tertinggi dalam sejarah apabila mencecah paras melebihi RM1,000 satu tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata harga BTS bagi Semenanjung Malaysia mencecah RM1,024.24 satu tan hari ini.

"Harga BTS bagi Sabah mencecah RM923.70 satu tan, manakala bagi Sarawak pula RM937.05 satu tan hari ini.

"Dengan kenaikan harga BTS hari ini, moga tersenyumlah peneroka dan pekebun kecil di kampung," katanya.

Semalam, harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah RM4,652 satu tan, harga tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia.

Ia terus menokok apabila kontrak semasa Mei 2021 untuk ditutup kepada RM4,885 satu tan.

Hari ini, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) meneruskan peningkatannya untuk ditutup tinggi dengan mencapai paras tertinggi baharu sepanjang masa melebihi RM4,400 satu tan bagi kontrak penanda aras Julai.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, prestasi peningkatan itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap pengeluaran yang lembap dan bekalan stok lebih rendah menjelang laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dikeluarkan minggu depan yang menyokong harga tanaman itu.

Katanya, prestasi minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) turut membantu meningkatkan sentimen.

"Kami mengesan sokongan pada RM4,250 satu tan dan rintangan pada RM4,480 satu tan," katanya kepada Bernama.

Menurut MPOB, harga MSM Malaysia berada pada RM4,652 satu tan pada semalam, paras tertinggi dalam sejarah industri minyak sawit dan kesembilan tertinggi pada tahun ini.

Ia melebihi puncak terdahulu RM4,548.50 satu tan yang dicatatkan sehari sebelumnya.

Ketika ditutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi Mei 2021 meningkat RM167 kepada RM4,885 satu tan, Jun 2021 menambah RM217 kepada RM4,676 satu tan, Julai 2021 meningkat RM210 kepada RM4,425 satu tan dan Ogos 2021 menambah RM184 kepada RM4,217 satu tan.

2. Pulau Pinang eksport RM1.16 bilion produk kayu

SEBERANG JAYA: Pulau Pinang mengeksport produk kayu bernilai tinggi bernilai RM1.16 bilion tahun lalu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

"Sebagai antara satu penyumbang utama kepada pendapatan nilai eksport negara, Pulau Pinang dilihat mampu untuk meningkatkan lagi prestasi pengeluaran produk kayu bernilai tinggi.

"Dengan lebih 100 pengusaha berasaskan kayu-kayan, Pulau Pinang telah mencatatkan sumbangan sebanyak 5.3 peratus atau RM1.16 bilion nilai eksport pada 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khairuddin mengadakan sesi berdialog dengan pemain industri kayu-kayan di utara tanah air pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar Ramadan yang dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di sini, hari ini.

Sesi berkenaan adalah yang ketiga disertai Mohd Khairuddin bersama pemain industri kayu-kayan selepas perjumpaan di Kuala Lumpur pada 3 Mei dan Melaka (6 Mei) bersempena program Jerayawara MTC 2021.

Program berkenaan dianjurkan untuk memberi taklimat tentang perkembangan pasaran terkini di samping langkah dan usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan di persada dunia.

Mohd Khairuddin berkata, industri kayu-kayan tidak terkecuali dari mendepani norma baharu ini akibat COVID-19.

Justeru, katanya, beberapa program telah dibangunkan oleh MTC bagi memastikan kelangsungan industri kayu-kayan.

"Salah satunya adalah Program Inkubator Reka Bentuk (DIP) yang menghubungkan pereka/arkitek tempatan dengan syarikat berasaskan kayu dan perabot untuk menghasilkan produk kayu dan perabot bernilai tinggi buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa.

"Sehingga kini, terdapat 14 pengusaha produk kayu dan perabot yang dipadankan dengan pereka/arkitek dan akan mempamerkan produk keluaran mereka buat julung kalinya di Pameran Eksport Perabot (EFE) pada Ogos ini," katanya.

Beliau berkata, MTC juga telah mewujudkan sebuah program dikenali sebagai TimbeReality khusus untuk para pemain industri mempromosikan produk kayu-kayan mereka melalui saluran Realiti Maya (VR).

"Bagi menggalakkan syarikat perkayuan mentransformasikan perniagaan mereka sejajar dengan keperluan semasa, MTC telah menyediakan program Young Entrepreneur Society (YES).

"Program ini direka untuk membantu industri di dalam perancangan peralihan pengurusan perniagaan kepada generasi muda," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pemimpin PH mungkin tak sampai fikir begitu.. Sia-sia diberi peluang perintah 22 bulan. Bahkan lingkop pun, padan muka!

Sila lihat juga..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails