Sunday, May 23, 2021

Eksport minyak sawit negara meningkat.

 

KUALA LUMPUR: Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus iaitu RM17.12 bilion untuk tempoh Januari hingga April 2021 berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harganya dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.

Beliau berkata, dengan prestasi itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai dengan sokongan program baharu kementerian.

Program terbabit ialah inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi.

"Program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu.

"Ia disokong dengan pembabitan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Industri minyak sawit Malaysia adalah sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus.

Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia serta 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada 2020.

"Cabaran pandemik COVID-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini. Bagaimanapun, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang juga penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.

"Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan itu mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan serta rakyat," katanya.

-BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails