Friday, May 21, 2021

Hijrah jujur, bukan 'trend'. Kisah Datuk Nash; Nabil Ahmad serta Amar Asyraf..

 

Nabil Ahmad menganggap kedudukan manusia di dunia tidak bernilai langsung di sisi Allah. - Foto IG Nabil Ahmad

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Aksi nakal di pentas malah ada antara mereka pernah dihambat kontroversi 'panas' kini menjadi suatu fasa dalam kehidupan selebriti yang sudah berhijrah ke arah kebaikan.

Bagi tiga selebriti popular, penyanyi rock, Datuk Nash; pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad serta pelakon, Amar Asyraf, niat menunjuk baik atau alim, jauh sekali difikirkan dalam benak hati.

Didorong rasa tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka mendekati ajaran agama, biarpun langkah dalam dunia seni diteruskan sebagai sumber rezeki.

Baik Nash, Nabil dan Amar, perubahan yang dilakukan bukanlah kerana mengikut 'trend'. Sebaliknya, mereka mempunyai laluan dan alasan tersendiri terhadap perubahan dibuat.

Bagi vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenar, Jamaludin Elias, 62, penyertaan dalam kumpulan tabligh bukanlah baharu.

Sikap tidak gemar menghebohkan kegiatan kerohanian mungkin menjadi punca ramai orang menyangka penyanyi berasal dari Muar, Johor itu baru mengikuti kumpulan tabligh.

"Sebenarnya, sejak anak-anak masih kecil lagi saya sudah mengikuti pelbagai majlis ilmu. Tetapi saya tidak suka menghebohkan kegiatan itu. Cuma ketika terbabit dengan kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan, bulan lalu, baru peminat tahu saya mengikut tabligh.

"Itu pun bukan saya yang menghebohkannya. Sebaliknya, rakan-rakan dan peminat yang beritahu saya keluar 40 hari untuk menuntut ilmu.

"Bagi saya, perkara seperti itu tidak perlu dihebohkan. Perubahan ke arah kebaikan dilakukan untuk diri sendiri dan kepada keluarga terdekat atas rasa tanggungjawab," katanya kepada BH Online.

Nash berpendapat, istilah hijrah tidak sesuai digunakan kerana memang dilahirkan sebagai umat Islam.

"Mungkin lebih tepat jika dikatakan sebagai suatu perubahan daripada tidak sempurna ke arah yang lebih sempurna. Keinginan untuk berubah bukan atas dorongan mahupun paksaan sesiapa, sebaliknya, rasa tanggungjawab ke atas diri sendiri," katanya.

Biarpun sering mengikuti majlis ilmu, kegiatan seni penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu tetap diteruskan.

Biarpun sering sering mengikuti majlis ilmu, kegiatan seni Datuk Nash tetap diteruskan.

Nash menganggap penyertaan dalam kumpulan tabligh tidak menghalangnya untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

Baginya, seni juga menjadi suatu tanggungjawab kerana tidak memiliki kemahiran lain. Namun, demi memastikan karier selari dengan imej, Nash berusaha menjaga batas dengan sebaik-baiknya.

"Bagi saya tidak menjadi masalah untuk seorang penyanyi menunaikan tanggungjawab sebagai artis dan mengikuti majlis ilmu.

Pembabitan kita sebagai anak seni adalah atas izin Allah. Namun, kita perlu tahu menjaga batas dan jarak.

"Saya bersyukur kerana lagu-lagu dinyanyikan sama ada ketika bersama Lefthanded atau solo, banyak yang menuju ke arah ketuhanan dan kerohanian.

"Tetapi apabila menyanyikan lagu yang sarat dengan mesej yang baik, imej kita perlu selari. Bukanlah bermakna apabila kita ingin berubah ke arah kebaikan, kita perlu menukar imej seperti memakai jubah atau kopiah sepanjang masa.

"Sebaliknya, imej yang saya maksudkan adalah perbuatan kita selari dengan lagu dinyanyikan. Soal gaya, hendak pakai apa pun tidak mengapa , ikutlah kesesuaian asalkan menutup aurat," katanya.

Namun, kata Nash, dia bukanlah hebat malah tidak layak untuk digelar ulama atau ustaz. Sebaliknya, Nash mengaku masih belajar dan menghargai kasih sayang dan ilmu yang diberi kumpulan tabligh disertainya.

Nash juga memohon individu yang tidak pernah mengenali kumpulan tabligh agar tidak mengecam kerana mereka menyampaikan ilmu Allah dan sunnah Nabi.

Sementara itu, Nabil, 37, mengaku keadaan semasa mendorongnya untuk berubah.

Penutupan masjid dan surau serta solat jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan COVID-19 menyebabkan anak kelahiran Negeri Sembilan itu merasakan dia perlu mempersiapkan diri.

Baginya, dunia sudah semakin tua.

"Banyak peristiwa yang tidak disangka terjadi sejak akhir-akhir ini. Apabila kita mendengar kembali ceramah agama, membaca al-Quran dan mengikuti apa yang Nabi Muhammad SAW sampaikan selama ini, semuanya mula berlaku.

"Kita sebenarnya semakin mendekati akhir zaman. Sebagai hamba-Nya, kita perlu cerdik... Banyak yang kita sudah dengar, tahu dan nampak benda pelik terjadi.

"Saya sangat sedih apabila tidak diizinkan masuk ke masjid. Sejak belajar mengenali Allah dan Nabi, ia meninggalkan kesan cukup mendalam pada diri saya," katanya.

Amar Asyraf berdamping dengan guru agama untuk memperkasakan ilmu tauhid. - Foto IG Amar Asyraf

Bagi Nabil, kedudukan manusia di dunia ini tidak bernilai langsung di sisi Allah.

"Melalui ilmu yang saya pelajar, kejayaan sebenar adalah akhirat. Berjaya setakat mana sekalipun, kita kena taat perintah Allah dan ikut sunnah Nabi. Itu yang saya belajar dan memberi kesan dalam diri saya," katanya.

Biarpun sudah berhijrah, Nabil bagaimanapun tidak terfikir untuk meninggalkan bidang seni.

Akui pengacara program hiburan Meletop itu, dia ingin menggunakan platform seni untuk menghidupkan sunnah dalam kalangan artis.

"Di sinilah saya ingin terapkan apa yang dipelajari daripada majlis ilmu. Bagi saya tidak menjadi kesalahan untuk membawa imej agama dalam industri.

"Ramai yang sudah memulakannya. Insya-Allah dengan berkat doa semua, ia boleh menjadi kenyataan," katanya.

Akui Nabil, dia bimbang jika tidak menyampaikan ilmu dipelajari atau tidak menegur perkara yang tidak diketahui teman-teman menyebabkan dirinya diheret ke neraka.

"Ujian untuk kekal istiqamah datang daripada diri sendiri. Ada masa rasa malas ingin menyampaikan ilmu yang baik atau bercerita mengenai kebesaran Allah dan Nabi kepada teman-teman. Maklumlah saya pun hanya manusia biasa dan lemah.

"Tapi apabila melihat ada teman tidak tahu hukum Allah, timbul rasa simpati. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu sampaikan ilmu dipelajari supaya tidak diheret sama ke neraka," katanya yang memohon doa semua agar dirinya terus istiqamah.

Bagi Amar, 34, Allah yang mendorong hatinya untuk berubah.

Akuinya, selepas mengenal Allah, banyak yang dipelajari termasuk tiada makhluk yang berkuasa di muka bumi ini melainkan Allah.

"Lebih banyak saya belajar, lebih dalam kesannya kepada diri saya. Ini mengajar saya untuk memperkasakan lagi tauhid. Bagaimanapun, saya tidak alim. Imej alim itu hanyalah sekadar untuk meniru dan menghidupkan sunnah Nabi.

"Saya hanya mengikut apa yang ulama cakap. Menurut mereka, satu sunnah yang kita hidupkan, pahala yang bakal kita peroleh adalah 100 kali ganda dan bersamaan dengan mati syahid," katanya yang masih meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan. (BH)

BERITA BERKAITAN

No comments:

Post a Comment