Friday, May 07, 2021

Industri perkayuan masih perlukan pekerja asing

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (tengah) menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh tetamu pada Sesi Dialong Bersama Industri Perkayuan dan Majlis Iftar Ramadan, hari ini.Turut hadir Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee (dua, kiri). - Foto BERNAMA

MELAKA: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) kini sedang berusaha mendapatkan pengecualian daripada kerajaan bagi membawa masuk 20,000 pekerja asing.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ini penting berdasarkan sektor perladangan dan komoditi adalah kelompok terbesar yang bergantung kepada pekerja asing.

"Kita baharu mendapat kelulusan dasar bagi mendapatkan pekerja warga asing bagi sektor kelapa sawit dan akan berunding untuk mendapatkan (pekerja asing) bagi sektor perkayuan pula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Siri Jerayawara Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MTC Mazli Zakuan Mohd Noor dan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka Datuk Nohizam Hassan Baktee.

Bagi menampung kekurangan sementara pekerja asing dalam sektor tersebut, beliau berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai jenis dana sebagai insentif untuk menarik pekerja tempatan.

Katanya, ia termasuk membuka ruang kepada syarikat dalam sektor itu membuat promosi di laman sesawang di bawah Kementerian Sumber Manusia dan menyediakan siri latihan kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, langkah melakukan transformasi operasi industri kayu-kayan ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan juga dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing.

"Sebagai subkontraktor ketiga terbesar selepas kelapa sawit dan getah, industri kayu-kayan turut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk cabaran Revolusi 4.0 dan kini pandemik COVID-19.

"Oleh itu, MTC memperuntukkan RM2.8 juta daripada dana pembangunannya yang bernilai keseluruhan RM28.3 juta bagi membantu industri mentransformasikan operasi mereka ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan," katanya.

Katanya, sehingga kini sektor perkayuan menyediakan peluang pekerjaan kepada 140,000 orang yang berkhidmat di 3,500 kilang berasaskan kayu di seluruh negara.

Beliau turut berharap dengan wujudnya program dan insentif pembangunan seperti Program Bantuan Eksport dengan dana RM1 juta dapat membantu lebih 30 pengusaha dan pengilang kayu di Melaka untuk meningkatkan lagi prestasi pengeluaran produk kayu bernilai tinggi. – BERNAMA

Sila lihat juga..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails