Friday, May 21, 2021

Israel kalah, tahniah dari Hizbullah. Kehancuran akibat peperangan bukan kerugian.

 

Penyokong Hizbullah dan Palestin mengibarkan bendera kebangsaan Palestin di Beirut, Lubnan. - Foto EPA

1. Hizbullah ucap tahniah kepada rakyat Palestin

BEIRUT: Kumpulan pergerakan Hizbullah Lubnan yang disokong Iran mengalu-alukan 'kemenangan bersejarah' buat rakyat Palestin selepas gencatan senjata yang berkuatkuasa hari ini, antara Israel dan pejuang Gaza selepas berperang selama 11 hari.

"Hizbullah mengucapkan tahniah kepada rakyat Palestin yang gagah berani dan penentang yang berani atas kemenangan bersejarah yang dicapai terhadap musuh Zionis," kata kumpulan pergerakan Syiah itu dalam satu kenyataan.

Pada 2006, Hizbullah yang pernah berperang dengan Israel kekal sebagai gerakan berkuasa dalam kancah politik Lubnan termasuk mempunyai hubungan erat dengan pejuang Hamas di Gaza.

Gencatan senjata yang Mesir menjadi 'orang tengah' usaha itu, berkuat kuasa jam 2 pagi tadi, menyaksikan pengakhiran peperangan paling serius dalam tempoh beberapa tahun.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, serangan Israel ke atas wilayah itu mengorbankan 232 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak serta pejuang.

Serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Gaza didakwa meragut 12 nyawa di Israel, termasuk dua kanak-kanak dan seorang tentera Israel, menurut polis. - AFP

2. Israel kalah kerana dunia bergabung bela Palestin


KOTA BHARU: Media-media di Israel melaporkan genjatan senjata yang diumumkan kerajaan negara zionis itu suatu hal yang paling memalukan zionis Israel.

Ini kerana gencatan senjata bukan konsensus awal kedua-dua pihak.

Pemerhati politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, strategi perang pejuang Hamas lebih padu dan bermoral kerana hanya menyasarkan tempat strategik berbanding Israel.

Katanya tentera zionis Israel membunuh dan mencederakan orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua yang dilarang dalam ajaran Islam.
“Malah mereka berperang tanpa maklumat yang lengkap. Ini dilihat cara Israel mengebom secara rambang termasuk menyerang bangunan syarikat akhbar antarabangsa di Gaza.
“Ia menjadi punca gerak banyak negara tidak lagi pro-Israel kerana masyarakat antarabangsa sudah cerdas teknologi maklumat,” katanya di sini.
Awal pagi tadi rakyat Palestin meraikan kemenangan dengan takbir raya berkumandang di seluruh jalan seolah-olah baharu menyambut Syawal setelah Israel tewas perang.
Tepat jam 2 pagi waktu Palestin (7 pagi waktu Malaysia) secara rasmi Zionis menghentikan serangan serta merta ke atas Semenanjung Gaza.
Dr Zulkeflee juga berkata, perjuangan Palestin bermula Intifada yang pertama pada 1987.
Kata beliau kebangkitan itu diakui menggerunkan Israel kerana zionis mundur dengan nilai-nilai kemanusiaan untuk memastikan rakyat Palestin hidup aman damai.
“Tinjauan di media sosial memperlihatkan sokongan masyarakat antarabangsa kepada Palestin meningkat dengan ketara.
“Israel kalah perang kerana masyarakat antarabangsa bergabung secara naratif dalam perjuangan Palestin.
“Sokongan kepada Palestin terutamanya di media maya berlaku di serata dunia termasuk Barat bagi membuka pekung Israel sebagai penjajah. Ini juga memalukan Amerika Syarikat,” katanya. HARAKAHDAILY 21/5/2021

3. Kemenangan Palestin tiup semangat perjuangan ummah -TG Hashim Jasin

“Janganlah kita melihat kehancuran akibat peperangan sebagai satu kerugian, namun peristiwa ini dapat meniup lagi semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam,”

KANGAR: Genjatan senjata yang bermula pagi tadi menandakan kemenangan umat Islam di Palestin mempertahankan tanah air mereka selepas 11 hari diserang zionis Israel.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata kemenangan pejuang Islam di Palestin dapat membantu kewujudan kerajaan perpaduan dalam kalangan ummah tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan keturunan.

“Suasana politik di seluruh dunia terutamanya di negara umat Islam termasuk negara kita dilihat positif untuk melahirkan kerajaan perpaduan bagi menguatkuan ummah.

“Jadi bagi saya kita untung dari sudut itu sebagai contoh di Malaysia, hilang sekejap perhatian kepada wabak Covid di mana umat Islam rata-rata tanpa mengira parti bersatu membawa isu Palestin,” katanya ketika ditemui di sini.

Penduduk di Gaza meraikan kemenangan awal pagi tadi selepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas melakukan serangan ke bumi Gaza selama 11 hari.

Zionis Israel mendapat tentangan hebat pejuang al Qassam dan kumpulan pejuang lain sehingga banyak berlaku kemusnahan di Tel Eviv.

Tuan Guru Hashim juga berkata, jumlah bantuan yang dikumpulkan ahli-ahli dan penyokong PAS menunjukkan kesedaran umat Islam ke arah perpaduan yang semakin memuncak sekarang.

“Jumlah bantuan daripada PAS amat luar biasa jika diikutkan dengan suasana ekonomi sekarang, namun ahli PAS dapat mengumpul jumlah sumbangan hampir RM9 juta.

“Pada awalnya kita hanya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM2 juta sahaja. Ini menunjukkan kesedaran perpaduan dalam kalangan umat Islam semakin tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau meyakini langkah awal PAS dalam menyatukan seluruh umat Islam terutamanya di tanah air sebagai usaha yang paling tepat.

“Saya merasa langkah awal kita menyeru umat Islam supaya bersatu amat postif yang menandakan masa depan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang bergerak ke arah mencari keredhaan Allah.

“Janganlah kita melihat kehancuran akibat peperangan sebagai satu kerugian, namun peristiwa ini dapat meniup lagi semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

Al-hamdulillah, Allahu Akbar!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails