Tuesday, May 25, 2021

Jangan 'curi-curi' balik kampung sambut Gawai


KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menggesa orang ramai terutama tinggal di bandar menangguhkan hasrat balik kampung atau rumah panjang pada perayaan Hari Gawai, 1 Jun ini.

Ia berikutan, kes jangkitan baharu COVID-19 di Sarawak yang meningkat mendadak ketika ini.

Pesanan menerusi perutusan Hari Gawai yang dikeluarkan bersama oleh Pakar Kesihatan Perubatan Awam Bahagian Kuching, Dr Eunice Melissa Joseph; Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Johnny Pangkas; Pegawai Pendidikan Kesihatan, Gabriel Alexis dan bekas Pengarah Kesihatan Sarawak, Profesor Datuk Dr Andrew Kiyu Dawie itu turut merayu orang ramai untuk terus duduk di rumah dan tidak merentas daerah.

"Orang ramai juga digesa tidak melakukan aktiviti ziarah atau 'ngabang' pada Hari Gawai, sebaliknya mereka dinasihatkan untuk menyambut perayaan dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja.

"Selain itu, orang ramai juga harus mengelakkan diri daripada berkumpul di suatu tempat dan tidak menganjurkan aktiviti seperti sabung ayam," katanya.

Beliau berkata, situasi pandemik COVID-19 kini semakin membimbangkan dan keadaan berbeza dengan sambutan perayaan Hari Gawai tahun lalu kerana ketika ini, ia sudah merebak ke sebahagian besar kawasan luar bandar.

"Jumlah rumah panjang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga meningkat pada tahun ini, malah jumlah kluster di Sarawak juga meningkat dan sebahagian besar daripadanya timbul berikutan gagal mematuhi SOP.

"Antara faktor penyumbang kepada kewujudan kluster ini adalah perhimpunan sosial, sambutan ulang tahun, acara perkahwinan, pengebumian, acara sabung ayam dan pergerakan antara daerah," katanya.

Justeru, orang ramai perlu bersama membendung penularan dengan membatalkan hasrat untuk balik kampung, tidak melakukan aktiviti ziarah dan tidak berkumpul pada perayaan Hari Gawai ini.(BH)

Gawai Dayak, hari kesyukuran

Tarikh 31 Mei dan 1 Jun bukan sahaja dinantikan masyarakat Dayak di Sarawak malah masyarakat serumpun mereka di Kalimantan Barat, Indonesia, turut menjadikan tarikh itu untuk diraikan umpama pesta.

Bagi masyarakat Dayak Sarawak yang terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, tarikh 1 Jun wajib bagi mereka untuk berkumpul bersama keluarga.

Justeru, tidak hairanlah menjelang perayaan Hari Gawai Dayak, pengangkutan awam khususnya bot ekspres di wilayah tengah Sarawak iaitu Sibu, Kapit dan Sarikei penuh sesak dengan perantau yang mahu balik kampung untuk meraikan hari kebesaran mereka itu.

Seperti juga perayaan masyarakat lain, menjadi kemestian bagi masyarakat Dayak menghias rumah mereka menjelang perayaan itu.

Pelbagai juadah istimewa turut disediakan untuk dihidang kepada sanak saudara serta rakan taulan yang berkunjung.

Ayam, ikan atau daging yang dimasak dalam buluh yang dikenali sebagai ‘pansuh’ menjadi hidangan wajib pada perayaan itu.

Tidak ketinggalan lemang, ketupat, tumpi serta pelbagai lagi juadah tradisional mengikut etnik masing-masing.

Bagi penduduk Kampung Benuk di sini, perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini lebih bermakna apabila ia akan turut diraikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, 1 Jun ini.

Kini, penduduk kampung itu giat menghias rumah panjang tradisional yang mereka diami bagi meraikan hari penuh bermakna buat mereka.

Penyelaras Majlis Gawai Dayak Kampung Benuk, Henry Senok, 50, berkata penduduk bergotong royong membaiki rumah panjang warisan mereka itu sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, mereka akan menghiasi kediaman itu apabila semua perantau balik ke rumah masing-masing, hari ini.

“Gawai tahun ini cukup bermakna bagi kami kerana ia akan turut diraikan bersama pembesar Persekutuan.

“Kami bergotong royong membuat persediaan terus memastikan hidangan mencukupi untuk tetamu yang datang, ” katanya.

Henry berkata, seperti tahun sebelumnya, Hari Gawai Dayak di kampungnya pasti disambut dengan meriah dan menjadi tumpuan ramai.

Ini kerana, di kampung itu masih terpelihara rumah panjang tradisional masyarakat Bidayuh yang didirikan oleh nenek moyang mereka lebih seratus tahun lalu.

“Sebab itu, suasana sebenar perayaan Gawai Dayak dapat dirasai di Kampung Benuk ini, kerana di sini, penduduknya masih mendiami rumah panjang, sedangkan di kampung lain kini kebanyakan penduduk tinggal di rumah persendirian,” katanya.

Gawai Dayak disambut sebagai hari kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan masa untuk merancang musim penanaman yang baru.

Cuti umum bagi meraikan Hari Gawai Dayak diwartakan pada 1 Jun 1965 dan ia menjadi simbol perpaduan dan harapan agar masa depan yang lebih baik bagi komuniti Dayak.

No comments:

Post a Comment