Ekoran permintaan daging tempatan yang tinggi, sekumpulan lelaki menyeludup masuk 13 lembu bernilai RM91,000 dari Thailand, yang diheret menggunakan perahu ketika menyeberangi Sungai Golok. - Foto hiasan
KOTA BHARU: Ekoran permintaan daging tempatan yang tinggi, sekumpulan lelaki menyeludup masuk 13 lembu bernilai RM91,000 dari Thailand, yang diheret menggunakan perahu ketika menyeberangi Sungai Golok menerusi pangkalan haram Mek Gombak dekat Rantau Panjang, semalam.
Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata hasil maklumat yang diterima, anggota Strike Force PGA7 membuat pemerhatian awal di tebing Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Mek Gombak kira-kira 10.30 pagi.
"Hasil pemerhatian anggota bertugas mendapati beberapa lelaki yang tidak dikenali mengheret beberapa ekor lembu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok dari sebelah sempadan Thailand ke Malaysia.
"Seterusnya anggota PGA7 telah mengekori kumpulan lelaki yang mengheret lembu itu ke dalam hutan berhampiran dipercayai untuk disembunyikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 membuat kawalan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand.Bagaimanapun, katanya menyedari kehadiran pihak PGA7, kumpulan lelaki yang sedang mengheret lembu tersebut bertindak melarikan diri di kawasan semak berhampiran dengan melepaskan tali-tali yang terikat pada lembu.
Azhari berkata, pasukan Strike Force cuba mengejar tetapi tidak berjaya mengesan kumpulan lelaki tersebut yang disyaki sudah menghilangkan diri ke dalam hutan.
"Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran, pihak PGA7 menemukan 13 ekor lembu. Pasukan serbuan menunggu selama 30 minit di kawasan semalam berdekatan tetapi tiada individu datang menuntut lembu-lembu tersebut.
"Difahamkan, kesemua lembu itu diseludup masuk ekoran permintaan yang tinggi di sini terhadap daging lembu pada bulan Ramadan selain harga daging yang meningkat tinggi sekarang," katanya.
Katanya, ekoran kejadian itu pihak PGA7 bertindak merampas kesemua lembu tersebut dan membuat laporan polis di Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan agensi yang berkaitan.
"Kesemua lembu yang dirampas dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( Maqis ) 2011," katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment