Monday, May 03, 2021

Kos umrah naik sekali ganda

 

Pakej menunaikan umrah pasca COVID-19 dijangka meningkat sekali ganda berikutan pelbagai syarat tambahan ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebagai langkah keselamatan menghadapi wabak itu. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pakej menunaikan umrah pasca COVID-19 dijangka meningkat sekali ganda berikutan pelbagai syarat tambahan ditetapkan kerajaan Arab Saudi termasuk insurans sebagai langkah keselamatan menghadapi wabak itu.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana pengusaha terpaksa mematuhi peraturan baharu ditetapkan berkaitan penjarakan fizikal dan bayaran untuk ujian saringan dan kuarantin.

Katanya, sebelum pandemik harga pakej biasa ditawarkan pada kadar RM5,800 tetapi pasca COVID-19 harga kini mencecah RM10,800.

"Bayaran ini termasuk (kos) dua kali ujian saringan COVID-19 (masuk dan keluar), kos bilik daripada empat sebilik kepada dua orang sebilik dan kapasiti pengangkutan dikurangkan separuh serta kos untuk kuarantin tiga hari di Arab Saudi.

"Terbaharu kita dimaklumkan mengenai insurans untuk COVID-19, ini juga menyebabkan kos meningkat dan tidak dapat dielakkan," katanya dihubungi, semalam.

Beliau mengulas pengumuman terbaharu Arab Saudi yang mewajibkan warga asing yang datang ke negara itu dengan visa umrah, lawatan dan pelancongan mempunyai perlindungan insurans terhadap risiko jangkitan COVID-19.

Kelmarin, Bank Pusat Arab Saudi dan Majlis Insurans Kesihatan Koperasi mengumumkan mengenai keperluan untuk mengemas kini format polisi insurans dengan menambahkan liputan untuk risiko jangkitan COVID-19.

Memetik portal berita Saudi Gazette, penambahan syarat itu bertujuan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk bukan warganegara Arab Saudi dari luar negara untuk tujuan pelancongan, lawatan dan umrah sekiranya mereka dijangkiti virus berkenaan.

Razali menjelaskan penetapan perlindungan insurans sememangnya sudah ada dalam komponen pakej umrah dan sudah dipraktikkan sejak sekian lama. Syarat terbaharu ini hanya meminta pengusaha agensi umrah dan pelancongan memasukkan liputan untuk COVID-19 dalam insurans dan ini tiada masalah untuk dilaksanakan.

"Apa saja syarat baru ditetapkan pastinya membabitkan kos. Kita kena terima ini sebagai satu norma baharu," katanya.

Ditanya jangkaan masa yang sesuai untuk jemaah Malaysia menunaikan umrah, katanya Arab Saudi memang tidak pernah menutup pintu negara itu menerima jemaah dari Malaysia dan Brunei.

Namun, katanya Malaysia masih belum bersedia melepaskan jemaah umrah ke sana kerana kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19.

"Kita kena tunggu kebenaran daripada MyTravelPass kendalian Jabatan Imigresen. Buat masa ini umrah dan haji tidak dapat kebenaran sistem itu," katanya

Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris, berkata penetapan insurans khusus COVID-19 baru sahaja dikuatkuasakan oleh Kementerian Haji Saudi justeru banyak maklumat terperinci belum diketahui termasuk kos.

Namun, katanya beliau percaya penambahan kos insurans terhadap keseluruhan pakej tidak terlalu besar dan jemaah tidak perlu terlalu risau mengenainya.

"Jemaah memang tidak tahu tentang keperluan insurans baru ini tetapi saya percaya jemaah boleh menerimanya dengan baik demi keselamatan dan kebajikan mereka.

" Saya difahamkan juga, insurans COVID-19 itu adalah penambahan dari perlindungan insurans sedia ada yang pernah digunapakai oleh semua jemaah umrah pada awal musim 1441H sebelum ditutup pada 27 Februari lalu," katanya

Difahamkan penambahan insurans itu melindungi jemaah sekiranya didapati dijangkiti COVID-19. Antara yang dinyatakan adalah insurans itu adalah kos untuk hospital, pengangkutan sekiranya membabitkan kematian, kos pengebumian, kos penginapan ketika kuarantin dan perubatan.

Mengulas lanjut, katanya setakat ini, kenaikan harga pakej umrah sekiranya umrah dibuka semula adalah bagi pematuhan SOP umrah oleh Kerajaan Arab Saudi.

Kenaikan itu termasuklah kenaikan Cukai Nilai Tambah (VAT) dari 10 peratus kepada 15 peratus dan penetapan bilik berdua (double) bagi memastikan penjarakan fizikal dan harga pengangkutan kerana SOP terbaru menetapkan kapasiti penumpang tidak boleh melebihi 25 orang bagi setiap bas.

Lihat sebelum ini.. Ibnu Hasyim

No comments:

Post a Comment