KUALA LUMPUR: ARMADA hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi, berhubung ciapan di Twitternya yang didakwa biadab dan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengerusi Biro ARMADA Nasional, Mohd Firdaus Yusoff berkata, beberapa laporan polis telah dibuat di beberapa buah negeri termasuk di Perak dan Selangor, untuk Polis Diraja Malaysia menyiasat serta mendakwa kebiadapan yang dilakukan Najwan Halimi.
Beliau berkata, ciapan berkenaan secara terang cuba menjatuhkan imej Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Ciapan Twitter Qu’ils mangent de la brioche membawa maksud ‘biarkan mereka makan kuih’, yang juga menunjukkan gambar kek cawan yang disediakan oleh Permaisuri Agong kepada barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, PDRM perlu menyiasat dengan kadar segera demi menjaga martabat Raja-raja Melayu sebagai tiang seri negara.
Pada Isnin lepas, Petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan di Putrajaya dan Hospital Kuala Lumpur, antara yang bertuah dapat merasa kek cawan hasil air tangan Seri Paduka Baginda sendiri.
Istana Negara dilaporkan berkata, Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menghargai khidmat bakti dan komitmen serta pengorbanan yang dicurahkan petugas barisan hadapan, tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul tanggungjawab memerangi penularan wabak Covid-19. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment