Friday, May 21, 2021

Penduduk Gaza bertakbir menang. Briged Al-Qassam siap roket lebih besar.

 

1. Penduduk Gaza bertakbir rai kemenangan

WISEL dibunyikan sebagai tanda tentera zionis Israel kalah ekoran tentangan sengit Briged Qasssam dan Jihad Islami. Akhirnya zionis Israel mengumumkan gencatan senjata.

Berikutan itu penduduk di Gaza meraikan gencatan senjata yang bermula jam 2 pagi waktu Gaza (7 pagi Malaysia). Biarpun kedinginan awal pagi namun mereka keluar meraikan kemenangan itu dengan bertakbir beramai-ramai.

Laungan takbir raya jelas kedengaran di corong-corong masjid memecah kesunyian awal pagi. Pemuda antara golongan paling gembira dengan kemenangan tersebut.

Pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia Nadir al Nuri berkata, ketika itu masih berlegar dron tentera zionis Israel di ruang udara Semenanjung Gaza sebagai memantau perkembangan selepas gencatan senjata diumumkan.

Bagaimanapun katanya penduduk di Gaza tidak menghiraukan kehadiran dron tentera zionis selepas gencatan senjata diumumkan.

“Kesabaran selama 11 hari rakyat Gaza akhirnya membuahkan kejayaan selepas berdepan dengan tembakan peluru, mortar dan bom yang menyebabkan kematian lebih 200 penduduk.

“Penduduk Gaza sanggup berkorban untuk mempertahankan Masjid al Aqsa dan bumi Palestin. Mereka berperang untuk maruah umat Islam di seluruh dunia,” katanya pada lintas langsung dari Gaza awal pagi tadi.

Menurutnya juga tentangan sengit pejuang al Qassam dan Mujahidin di Gaza menyebabkan zionis Israel terpaksa mengaku kalah dan akur untuk gencatan senjata.

Kata beliau pejuang terbabit selama 11 hari bersembunyi di bawah dan atas tanah hari ini keluar meraikan kemenangan penduduk Gaza.

“Sebenarnya apa yang berlaku perjuangan lebih besar baru bermula. Peperangan pada masa akan datang adalah untuk membebaskan al Quds dan bumi Palestin.

“Hari penduduk Gaza kembali ke tempat sisa-sisa runtuhan kediaman mereka yang kini ranap bagi membina semula penghidupan.

“Jadi rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang membantu mereka membangunkan semula Gaza dengan menghulurkan bantuan,” katanya.

Nadir juga memberitahu beliau bersama keluarga keluar ke jalanan bersama penduduk Gaza bagi meraikan kemenangan tersebut sambil meraikan sambutan Hari Raya.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Zulqarnian Hassan pula berharap pejuang-pejuang dan penduduk di Gaza terus tabah dalam perjuangan mempertahankan tanah air mereka.

Sepanjang 11 serangan tentera zionis Israel menyebabkan seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban. Namun rejim itu ditentang hebat Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin. – HARAKAHDAILY 21/5/2021 

2.‘Kami telah bersiap sedia dengan roket lebih besar’

KUALA LUMPUR: Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah menegaskan pihaknya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel sama ada di utara mahupun selatan.

Bagaimanapun, katanya Briged Al-Qassam menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata dengan zionis Israel.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.

“Kami sebenarnya telah bersiap sedia dengan roket yang lebih besar untuk menyerang Israel baik di utara mahupun selatan, tetapi kami memberi maklum balas kepada misi damai.

“Kami menggantung serangan pada waktu bermulanya gencatan senjata. Apa yang menyebabkan kami menghentikan serangan ialah apabila pihak musuh iaitu rejim zionis Israel memberi respons terhadap gencatan senjata tersebut lewat malam ini (waktu Gaza),” ujarnya.

Seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban dalam masa 11 hari berlangsung pertembungan antara rejim zionis Israel dengan Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin.

Angka itu termasuk 65 kanak-kanak, 39 wanita, 17 warga emas termasuk lebih 1,900 orang yang mengalami kecederaan sementara di pihak rejim zionis Israel pula, seramai 12 orang terbunuhn termasuk dua kanak-kanak.

Dalam tempoh itu, lebih 90,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal akibat daripada bedilan roket rejim zionis Israel yang memusnahkan kediaman mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikecam teruk oleh penentangnya, wartawan Israel dan pendatang haram Yahudi terutamanya yang tinggal di Semenanjung Gaza akibat kegagalannya meneruskan operasi ke atas Semenanjung Gaza dengan menggambarkan ia adalah gencatan senjata yang sangat memalukan dengan menyerah kalah kepada pejuang Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Norwegian Sovereign Fund, salah satu dana pelaburan terbesar dunia bertindak melupuskan pegangannya dalam dua syarikat Israel kerana ada kaitan dengan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

No comments:

Post a Comment