Saturday, May 29, 2021

Pesawat Israel tidak berlegar di ruang udara Malaysia

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini mengesahkan bahawa sebuah pesawat Israel telah melintasi ruang udara Malaysia baru-baru ini namun menyatakan tiada corak penerbangan yang tidak normal atau dilihat berlegar-legar di ruang udara Malaysia.

Mengikut kenyataan yang mengambil maklum keresahan orang ramai berhubung insiden sebuah pesawat berdaftar Israel yang melintasi ruang udara Malaysia baru-baru ini, MOT memaklumkan bahawa pesawat awam itu telah mengikuti laluan penerbangan komersial yang digunakan oleh mana-mana pesawat awam ketika melintasi ruang udara Malaysia menurut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Kenyataan itu menyebut bahawa pesawat tersebut berlepas dari Male, Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada 2.55 pagi Rabu lepas (19 Mei 2021).

“Berdasarkan peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udaranya selagi ia tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara kita,” menurut kenyataan itu.

Malaysia adalah negara anggota ICAO.

Menurut MOT, kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) itu tidak membenarkan ia mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia.

“Tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat itu melalui ruang udara Malaysia dan ia juga tidak dilihat berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” katanya.

MOT juga menyatakan bahawa pihak berkuasa penerbangan Malaysia telah mengesahkan bahawa pesawat itu tidak kembali ke ruang udara Malaysia selepas tiba di destinasinya, Singapura. – BERNAMA


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails