KOTA BHARU: PAS Kelantan berdepan dengan pelbagai halangan dan mehnah politik sepanjang menerajui negeri itu lebih 30 tahun sejak 21 Oktober 1990.
Ketua Penerangan PAS Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bagaimanapun berkata, halangan itu tidak membantut usaha pembangunan dan pentadbiran negeri.
Katanya arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menerajui kerajaan negeri mengambil pendekatan lunak, melaksanakan perubahan berdasar bidang kuasa kerajaan negeri.
“Apabila berlaku halangan berkaitan bidang kuasa kerajaan pusat, kerajaan negeri mengambil pendekatan rundingan selagi ruang masih ada.
“Biarpun berdepan dengan pelbagai halangan, namun selepas 10 tahun Kelantan berjaya merintis kira-kira 100 perubahan, sehingga disebut sebagai Kelantan merajui perubahan,” katanya ketika membentang kertas kerja pada konvesyen Penerangan dan Media Baru PAS secara atas talian semalam.
Menurutnya juga sepanjang tempoh 30 tahun kerajaan persekutuan ditadbir di bawah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan sekarang Perikatan Nasional (PN).
Katanya juga antara cabaran besar yang dihadapi Kelantan termasuk pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, tuntutan royalti petroleum dan pemberian geran wajib oleh kerajaan pusat yang sering tersasar daripada jadual asal.
Sementara itu PAS Kelantan merakam ucapan tahniah kepada semua peserta konvensyen Penerangan dan Media Baru dari negeri itu atas komitmen kehadiran paling ramai pada program tersebut yang diadakan secara atas talian.
Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru Kelantan Wan Zulkefle Wan Mohamad berkata, komitmen itu menggambarkan kesungguhan petugas penerangan di negeri tersebut terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.
“Apapun diharap semua ahli penggerak penerangan dari seluruh DUN dan kawasan diharap terus istiqamah sehingga PRU-15, sekurang-kurangnya tiga bulan lagi,” katanya di sini.
Konvensyen Lajnah Penerangan dan Media PAS Pusat diadakan selama dua hari berakhir semalam yang diadakan melalui aplikasi Zoom disertai lebih 1,000 peserta dari seluruh negara.
Wan Zulkefle juga berkata, group penerangan PAS akan berfungsi sebagai platform utama perkongsian maklumat dan isu-isu penerangan dari Lajnah Penerangan PAS Pusat serta membincangkan isu-isu penerangan yang berbangkit.
“PAS negeri juga InsyaAllah akan mengadakan konvensyen peringkat negeri dan beberapa program dalam talian yang lain dalam masa terdekat. Sama-sama berganding bahu memenangkan PAS di Kelantan dan Malaysia dalam PRU-15,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2021
No comments:
Post a Comment