PETALING JAYA: Kira -kira 32000 pemandu teksi di negara ini atau 80 peratus daripada keseluruhan 40,000 golongan tersebut kini menganggur dan mengharapkan bantuan kerajaan ekoran tidak dapat beroperasi akibat daripada pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Pada masa yang sama, hampir 12,000 pemandu serta pengusaha teksi kini berhadapan dengan tindakan disenarai hitam kerana tidak mampu menjelaskan bayaran ansuran sewaan kenderaan mereka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemandu teksi merayu diberikan elaun sara hidup RM500 sehingga berakhirnya wabak Covid -19 bagi mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
Menurut beliau, pihaknya telah beberapa kali mengemukakan rayuan tersebut tetapi tidak diendahkan.
“Bantuan one off RM500 yang diberikan terdahulu, berapa hari sangat lah bertahan sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dah masuk dua tahun.
“Itu belum lagi dengan isu pemandu kami yang langsung tidak menerima wang bantuan tersebut,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hayat kira-kira 200 pengusaha bas ekspres kini bukan lagi tenat tetapi ibarat sudah ‘mati’ selepas kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh bermula awal bulan ini, sebagai lanjutan kepada larangan rentas negeri yang bermula sejak 18 Mac tahun lalu.
Kamarudin berkata, kerajaan sepatutnya lebih peka dengan nasib pemain industri seperti bas ekspres, bas sekolah, pemandu teksi dan pemandu limousin sebagai nadi penggerak negara.
“Bayangkan jika industri ini pupus, apakah akan terjadi apabila ekonomi dunia kembali pulih dan sektor pelancongan dibuka semula.
“Sepatutnya dalam keadaan hari ini, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan membela nasib kami, namun malangnya sehingga ke hari ini tiada usaha-usaha yang konkrit diambil bagi menjaga kebajikan kami apatah lagi tanggungan kami,” katanya lagi.
Menurut Kamaruddin, GTSM telah berkali-kali memanjangkan isu berkenaan, namun malangnya suara mereka sebagai pemain industri pengangkutan dan perkhidmatan awam tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Sekalipun ketika ini kami dibenarkan beroperasi tetapi tidak ada penumpang kerana penumpang kami tertakluk di bawah PKP termasuk diminta duduk di rumah serta tidak boleh merentas daerah dan negeri.
“Kami tidak faham kenapa kerajaan boleh dikatakan seperti tidak mengendahkan nasib kami. Jangan anggap memberi kebenaran beroperasi itu bermakna masalah kami sudah selesai,” katanya. -UTUSAN
No comments:
Post a Comment