Asna Nabihah mempunyai lebih 20 jenis kraf dihasilkan daripada daun nanas.- Foto/Omar Ahmad
JOHOR BAHRU: Pasti ramai merasai kelazatan nanas, namun di sebalik sepohon tanaman itu ada pelbagai manfaat lain seperti daunnya yang berduri dan berserat boleh dijadikan fabrik.
Justeru, inovasi daun nanas inilah dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak jati Johor, Asna Nabihah Azmi, 30, untuk menghasilkan produk kraf.
Bermula mengusahakan produk kraf berasaskan serat daun nanas sejak 2007 untuk dijadikan penanda buku yang diletakkan benang daripada nanas sebagai produk pertamanya.
Kini Asna Nabihah mempunyai lebih 20 jenis kraf yang bernaung di bawah produk Palmy termasuk selendang, buku, 'keychain', beg, beg duit dan bingkai gambar daripada hasil daun nanas yang diproses.
Menetapkan 100 peratus penggunaan bahan semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia dalam setiap produknya.
Hasil inovasi itu, Asna Nabihah sudah membuka dua galeri, iaitu di Kampung Sinaran Baru, Johor dan Bukit Bintang Kuala Lumpur yang diuruskan kakak.
Topi, beg dan pelbagai lagi produk dihasilkan Asna Nabihah menggunakan daun nanas.- Foto/Omar Ahmad"Sejak setahun lalu, banyak tempahan diterima menerusi media sosial berikutan pandemik COVID-19," katanya ketika ditemui di Galeri Palmy di Kampung Sinaran Baru, Kempas di sini.
Beliau berkata, daun nanas beliau ambil dari kawasan pertanian iaitu di Pontian dan Ulu Tiram. Proses pembuatan kertas nanas dan fabrik dari serat daun nanas adalah berbeza.
"Namun, material digunakan sama, iaitu daun nanas. Bagi penghasilan kertas daun nanas, ia digunting dan direndam semalaman, kemudian dikisar menggunakan mesin industri, sebelum diletak atas pencetak dicipta sendiri untuk dikeringkan.
"Proses pengeringan mengambil masa sehari jika cuaca panas dan tiga hari jika cuaca lembab," katanya anak bongsu empat beradik ini.
Beliau menjalankan kajian dan penyelidikan sendiri bagaimana mahu menghasilkan kertas nanas yang lebih halus.
Pada permulaan penghasilan kertas nanas agak kasar dan tidak boleh dihantar untuk dicetak.
Beliau cuba beberapa kali bagi menghasilkan kertas nanas yang lebih licin dan halus bagi memudahkan proses pencetakan atas kertas nanas.
"Mula-mula saya hantar ke syarikat pencetakan, mereka kata kertas nanas saya hasilkan kasar. Bila kasar, mesin cetak susah nak masuk dan menyebabkan mesin rosak dan berhabuk.
"Saya bawa pulang kertas nanas. Saya mula memikirkan bagaimana mahu menghasilkan kertas nanas lebih halus. Saya cuba cari maklumat dan tanya rakan atau agensi berkaitan.
"Kemudian saya cuba satu-persatu mengikut maklumat diperoleh. Sekarang kertas nanas saya sudah boleh dicetak. Bila sudah boleh dicetak, banyak produk kraf boleh dihasilkan", katanya.
Bagi menghasilkan fabrik nanas, Asna Nabihah, berkata daun nanas akan diracik bagi mengeluarkan serat benangnya.
Walaupun proses itu sedikit sukar berbanding pembuatan kertas nanas, ia mendapat kepuasan saat melihat kraf dihasilkan.
"Kira-kira 100 kilogram (gm) sisa pertanian daun nanas boleh menghasilkan sekilogram benang. Dari benang satu kilogram itu boleh dapat hasil 10 meter kain.
"Fabrik benang nanas lebih tahan lama. Antaranya, saya produk fabrik nanas ini ialah hiasan dinding, selendang, beg duit, beg syiling dan tas tangan.
"Bagi mengekalkan keaslian fabrik, saya hanya guna warna semula jadi seperti daripada kayu bakau atau warna benang nanas, iaitu warna putih gading.
"Jika mahu buat selendang, benang nanas perlu diselang-selikan dengan benang kapas supaya fabrik lebih halus. Daun nanas tidak akan mudah busuk jika disimpan dengan betul," katanya.
Beliau menceburi bidang ini sejak berusia 17 tahun, pernah berhadapan dengan tomahan masyarakat sekeliling dengan apa yang diusahakan, namun tidak pernah mengubah pendiriannya untuk terus berkarya dengan sisa daun nanas.
Aktif selepas tamat pengajian sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan perniagaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Masa itu banyak geran dan pertandingan yang kerajaan sediakan untuk membesarkan perusahaan.
Hiasan dinding menggunakan 100 peratus benang daripada daun nanas.- Foto/Omar Ahmad"Ramai bangga dengan produk mesra alam yang saya hasilkan itu, tetapi apabila pertandingan akhir tidak menang.
"Mereka memberi alasan produk kita tidak cukup premium, tidak boleh pergi jauh, sebelum ini ada produk eko pernah sertai tetapi tidak berjaya dan hanya separuh jalan, ada yang cakap bahan mentah untuk material tidak cukup.
"Sedangkan, kita sudah buktikan bahan mentah cukup dan mempunyai kepakaran. Apabila buat permohonan pinjaman di bank juga tidak lepas. Mereka cakap produk eko ini tidak akan ke mana.
"Itu antara kata-kata pernah saya alami dalam usaha memajukan produk itu", katanya.
Sebagai rakyat Johor, beliau berbangga dapat mempromosikan hasil nanas dalam bentuk cenderahati yang mudah dibawa pelancong.
"Petani hanya ambil buah nanas dan jambul untuk benih ditanam semula. Daun akan bakar dan buang.
"Bukan mudah hendak memberi kesedaran mengenai kitar semula kepada masyarakat," katanya.
Ibunya, Zaleha Md Tahir, 69, antara insan menjadi tulang belakang beliau sejak dulu hingga kini.
Malah ibu juga pernah ditohmah kerana dikatakan merosakkan masa depan anak sendiri dengan penghasilan kraf nanas.
Tahniah dari Weblog Ibnu Hasyim. (IH)
No comments:
Post a Comment