Friday, June 04, 2021

Isu arak: Antara politik dan dakwah

 

Oleh DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

PERTAMANYA, saya bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob yang telah menghentikan operasi kilang minuman keras secara serta-merta.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira bahawa kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan asas.

Mungkin ramai yang mempertikaikan kenapa menteri dan timbalan menteri PAS tidak vokal seperti ketika menjadi pembangkang, saya mengharapkan keputusan ini setidak-tidaknya menjadi bukti kepada proses advokasi dan dakwah yang PAS lakukan di peringkat dalaman bagi mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan.

Secara peribadinya, saya melihat ia adalah permulaan yang baik bagi mengawal penjualan arak secara lebih serius dan tegas.

Prinsip Islam dalam isu ini adalah jelas, arak diharamkan kepada orang Islam dan orang bukan Islam dibenarkan menjual arak tetapi tidak boleh secara bebas dan terbuka kerana menghormati hak orang Islam.

Kerajaan Kelantan berjaya melaksanakan prinsip ini melalui pelaksanaan kawalan penjualan arak yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan mengambil masa sehingga tiga tahun untuk dikuatkuasakan secara sepenuhnya.

Di Kelantan, pengurangan lesen premis yang menjual arak dikurangkan secara sedikit demi sedikit selepas PAS menjadi kerajaan. Kemudian, tiada lagi pembaharuan lesen yang dibenarkan di Negeri Kelantan dan sehingga hari ini, arak tidak lagi dibenarkan untuk dijual secara bebas dan terbuka.

Dalam hal ini, Kerajaan Kelantan hanya memberi lesen kepada orang bukan Islam sahaja. Jumlah pemberian lesen pula bergantung kepada kapasiti penduduk bukan Islam di sesuatu tempat.

Selain itu, pemilik premis juga mestilah memberi amaran supaya tidak membenarkan orang Islam untuk masuk ke premis menjual arak dan meminum arak di situ. Kawalan penjualan arak di Kelantan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan dakwah melalui undang-undang.

Namun begitu, ada satu perkara yang selalu orang terlepas pandang. Rata-rata orang bukan Islam di Kelantan juga sangat memahami keburukan arak.

Mereka tahu bahawa orang Islam tidak dibenarkan untuk minum arak dan hak orang Islam perlu dihormati dengan tidak menjual arak secara bebas kepada mereka.

Alhamdulillah, kesedaran ini adalah hasil daripada keberkesanan kuliah di Dataran Ilmu pada setiap hari Jumaat, melalui ceramah-ceramah agama dan dakwah daripada masyarakat Melayu Islam di Kelantan.

Hal ini menunjukkan bahawa pengawalan penggunaan arak memerlukan kepada nahi mungkar bukan sahaja di peringkat pihak berkuasa tetapi juga perlu disambut oleh para asatizah yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, serta individu Muslim yang mempunyai kesedaran agama.

Oleh sebab itu juga, saya amat berterima kasih kepada desakan demi desakan yang dilakukan oleh sahabat-sahabat dalam parti PAS, pihak pembangkang serta masyarakat Islam yang sangat mengambil cakna akan isu ini sejak dari awal lagi.

Hakikatnya, semua pihak perlu sama-sama mengambil peranan dalam melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran ini sama ada melalui tangan (kuasa), mulut (nasihat) dan hati (membenci kemungkaran yang berlaku).

Bagi ahli-ahli PAS pula, di mana pun posisi kita berada, matlamat politik kita tidak akan berubah, iaitu mahu menyelamatkan manusia seramai mungkin dengan Islam. Iktiraf dan sokonglah kebaikan mana-mana pihak secara matang. Lawanlah keburukan dan kezaliman mana-mana pihak secara matang juga, insya-Allah. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails