Semua kementerian perlu laksana Pelan Anti Rasuah Organisasi
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Idris Ahmad mencadangkan seluruh kementerian melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 seperti mana yang diusahakan beberapa kementerian baru-baru ini.
Menurutnya, budaya rasuah dalam organisasi di semua peringkat perlu dihapuskan untuk menjayakan objektif yang dirancang secara lebih efektif, selain diharapkan mendapat keredhaan Allah SWT dan ganjaran di akhirat kelak.
“Segala punca yang menjadi faktor berlakunya rasuah sama ada di peringkat atasan mahupun bawahan, perlu di atasi sebaiknya bukan sahaja melalui hukuman, bahkan menerusi kesedaran dan pendidikan yang berterusan.
“Justeru, saya mencadangkan agar semua kementerian turut melaksanakan OACP ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya yang juga Naib Presiden PAS, beliau yakin usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar rasuah adalah impian dan harapan setiap warga masyarakat Malaysia.
Khususnya buat mereka yang mahukan ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam seterusnya menghasilkan kestabilan dan kemakmuran negara, ujarnya.
Beliau dalam masa sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di atas inisiatif kementerian itu untuk melaksanakan OACP 2021-2025 yang telah dilancarkan pada 25 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 27/6/2021
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kita setuju sangat Ustaz Idris Ahmad mencadangkan seluruh kementerian melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 seperti mana yang diusahakan beberapa kementerian baru-baru ini.
Apa lagi kini sudah ada model sifar rasuah di Kelantan, walaupun sebelumnya Kelantan pernah didera dan disekat dari arus pembangunan Kerajaan Pusat. Tiada lebuhraya yang wajar, royalti minyak dirampas, dan segala macam deraan lagi.
Namun pemimpin-pemimpinnya tetap hidup sederhana, memotong elaun mereka untuk kerajaan dan bersama rakyat, kerana mereka pilih untuk membangun bersama Islam. Rakyat Kelantan memilih PAS parti Islam, kerana mahu sistem perundangan Islam dilaksanakan di negeri mereka. Lihat manifesto pilihanraya PAS.
Tetapi halangan-halangan syaitan bertopeng manusia tetap ada merintangi menuju jalan Allah dan perjuangan Islam. Kita ingin bertanya, mana kerajaan-kerajaan negeri lain di negara ini boleh buktikan model sifar rasuah seperti di Kelantan? Mereka jadi begitu kerana mereka ingin membangun bersama Islam.
DAP, sebelum memerintah negeri berdegar-dengar anti rasuahnya. Mana suara-suara itu sekarang? Mengapa hero-hero ultra anti rasuah yang dulu-dulu itu menghilang? Mana peguam-peguam hebat yang anti rasuah sekarang setelah kepala dipijak jadi batu loncat?
Nampaknya, hanya dengan Islam sahaja, najis rasuah itu boleh dihindarkan dan model sifar rasuah boleh diwujudkan. Nampaknya negeri-negeri lain juga kena ikut macam Kelantan yang meletakkan Islam sebagai asas pemerintahan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3).
Bahkan kerajaan Pulau Pinang sekali pun, tidak salah kalau nak ikut Islam, kerana bekas KMnya dulu ikut terpalit tuduhan rasuah 'kambus laut' yang tidak kecil. Bahkan DAP sendiri kena belajar dari PAS kalau pemimpin-pemimpinnya benar-benar ikhlas nak hapuskan rasuah. Sekian.
1 comment:
Harap undang undang anti Rasuah di ketatkan lagi... hukum tembak atau hukum mati...
Say no to rasuah...
Post a Comment