Friday, June 04, 2021

Kes rasuah Guan Eng ditangguh ke 12 Julai

 

Lim Guan Eng - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu yang sepatutnya bermula Selasa ini di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan pada 12 Julai.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata penangguhan itu berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara selama dua minggu hingga 14 Jun ini.

"Perbicaraan kes itu berlangsung di hadapan Hakim Azura Alwi dan pada prosiding 12 Julai nanti, pihak pendakwaan akan memanggil lapan saksi memberi keterangan," katanya.

Sebelum ini, Wan Shaharuddin berkata, 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa EXCO Kerajaan Pulau Pinang dijangka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, pada Mac 2011, antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, KOMTAR, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu HasyimBukti-bukti DAP anti-Islam semakin viral'

APABILA parti rasis dan cauvinis DAP mengancam akan menyaman Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), beberapa bukti DAP menentang Islam sebagai tanda sokongan kepada JAIP menjadi semakin viral. Antara bukti-bukti yang diperkatakan:

Bukti 1: Dalam Perlembagaan parti DAP, disebutkan dasar perjuangannya adalah demokrasi sekular. Ini bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan negara, Islam adalah agama Persekutuan dan makna Islam sendiri yang mencakupi keseluruhan cara hidup.

Bukti 2: Prinsip sosialis sekular yang mengundang kebebasan individu tanpa kawalan agama. Ini bercanggah dengan Perkara 3, yang memberikan hak beragama dan kebebasan beragama atas hak individu serta menghormati Yang DiPertuan Agong sebagai ketua agama.

BACA: Khutbah Aidiladha: Kita tak akan mohon maaf daripada DAP, kata Mufti Pahang

Bukti 3: Siri penentangan terbuka terhadap hak demokrasi majoriti rakyat Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (Undang-undang Hudud), sekaligus menentang keputusan Sultan Kelantan dalam titah Baginda dalam sidang DUN Kelantan Mac 2015. Bab ini ramai saksi hidup yang sanggup tampil ke mahkamah jika berlaku saman, termasuk dalam taklimat tertutup, ramai pemimpin DAP bersuara terus terang tidak bersetuju dengan kanun itu.

Bukti 4: DAP bersikap tidak menghormati malah bertindak songsang dengan prinsip Perlembagaan negara tatkala cubaan private member bill untuk meminda Akta 355 bagi meminda kadar hukuman jenayah Islam agar selari dengan hukum Islam sebenar. DAP tegar menganggapnya bercanggah dengan Perlembagaan sedangkan Parlimen adalah satu proses perundangan berlandaskan Perlembagaan.

Bukti 5: Apabila Perdana Menteri ke-4 Tun Dr Mahathir Mohamed mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 29 September 2001. DAP berkeras bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam dengan memperkenalkan kempen menentang “Deklarasi 929” sekalipun Tun Dr Mahathir menerangkan tiada perubahan pada perlembagaan Malaysia. Malah, DAP menentang sebarang perlumbaan antara UMNO dan PAS untuk menjadi parti yang lebih Islamik pada sidang media 22 September 2002.

Bukti 6: DAP menolak pengenalan subjek TITAS (Islamic and Asian Civilisation Studies) di Institut Pengajian Tinggi Swasta.

Bukti 7: DAP menganggap amalan agama Islam seharusnya terhad untuk amalan peribadi sahaja sedangkan hakikat amalan Islam menjangkau bukan sahaja amalan peribadi tetapi mencakupi keseluruhan aspek kehidupan.

Bukti 8: DAP pada 22 Ogos 2012 mengatakan Hudud dan Negara Islam bukanlah polisi dalam Pakatan Rakyat lantas menolak sebarang usaha yang berkaitan dengan agenda Islam walaupun terhadap rakan pakatan mereka sendiri.

Bukti 9: DAP tegas mempertahankan pendirian mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan berusaha supaya syariat Islam seperti perundangan hudud tidak dilaksanakan di negara ini.

Bukti 10: Pimpinan DAP yang “islamophobic” seringkali menyindir dan campurtangan dalam isu-isu seperti kod etika berpakaian yang dituduh sebagai usaha islamisasi, isu sambutan Halloween dan Valentine bagi umat Islam, mengadakan pesta Oktoberfest dan konsert secara terbuka, isi khutbah Jumaat dan pelbagai lagi perkara sama ada di dalam status FB atau twitter yang mengundang kemarahan umat Islam.

Terpulanglah kepada para pembaca untuk menilai bukti-bukti tersebut. Hakikatnya, Islam adalah suatu sistem cara hidup yang mencakupi amalan rohani peribadi sehingga kepada sistem keadilan, sosial, ekonomi dan politik.

DAP tidak boleh mengehadkan Islam hanya kepada amalan peribadi dan paling tinggi ekonomi sedangkan menolak juzuk-juzuk Islam yang lebih menyeluruh yang menyentuh isu kenegaraan, perundangan, politik dan pelbagai aspek dalam kehidupan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails