Thursday, June 10, 2021

Kisah Kampung Keling Medan & P.Pinang.

 

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim

Indokini: Kisah Kampung Keling Medan & P.Pinang.

MASIH dalam acara Forum Kerukunan Umat Beragama (FKUB) di Kota Medan pimpinan Syarin Harahap, dan Dr Mujahid selaku Pengerusi SEA Council Of Intereligios Networking For Peace.

Selepas saya menjadi moderator awal sessi pagi, saya berehat dan akan digantikan oleh orang lain, saya keluar menuju ke tempat rehat. Saya ditemui oleh beberapa pemimpin yang memperkenal diri mereka sebagai pemimpin orang-orang keturunan India di Kota Medan. Antara pertanyaan mereka kepada saya ialah "Mengapa orang-orang India di Malaysia ditindas atau tertindas berbanding bangsa lain?"

Sebenarnya, Medan memang telah diwarnai indahnya budaya berbagai etnik yang menempatinya. Tidak hanya etnik asli Indonesia, tetapi juga berbagai etnik pendatang seperti India, Tionghoa, dan Arab yang telah bermukim di Indonesia sejak berabad silam. Kampung Keling adalah contoh konkrit keindahan itu.

Sebut Kampung Keling, teringat kisah lamaku semasa kecil-kecil dulu... Walaupun aku dilahirkan di Kampung Perlis Balik Pulau, Pulau Pinang, tetapi di peringkat sekolah rendah aku dibesarkan di Kampung Keling Teluk Bahang, Pulau Pinang. 

Ayahku pindah ke sana, mengajar di Madrasah Al-Masakin, di mana hampir semua penghuninya, penghijrah-penghijrah dari benua India. Kira-kira ratusan buah rumah, kebanyakannya Islam. Walaupun begitu ada yang beragama lain seperti Hindu, Kristian dan Buddha.

Kerana ada Tokong Hindu, Tokong Cina (Buddha) dan madrasah ayahku itu yang juga berfungsi sebagai surau. Di situlah aku belajar agama peringkat awal dari ayahku. Penduduknya kebanyakannya menjadi nelayan. 

Subuh-subuh pagi, masa nelayan turun ke laut, kedai kopi dibuka, yang dengar bunyi bising ialah lagu-lagu India, seolah-olah berada di tanah seberang, India lagaknya. Tetapi hidup rukun damai, tiada perselisihan agama atau kaum. Ayahku, waktu itu dipanggil 'Lebai Hashim' sangat dihormati di kampung itu.

Sehingga orang-orang Hindu di situ yang ingin memakan binatang ternakan, menjemput ayahku menyembelih ternakan mereka, untuk mereka makan. Sedangkan mereka beragama Hindu tetapi ingin ambil berkat dari ustaz Islam. 

Teringat lagi peristiwa abangku membawa pulang satu guni beras di atas basikal di jalan pasir pantai. Tidak disedari guni beras bocor, bila sampai di rumah beras sudah tinggal setengah guni. Abangku berpusing balik, terlihat ramai wanita jiran sedang menampi beras memisah antara pasir dan beras, menyerahkan balik kepada abangku.

Aduh. begitu hebat dan akrabnya penduduk Kampung Keling itu, walaupun berlainan agama dan bangsa. Penduduk kampung pula sama-sama berkerja turun ke laut menangkap ikan. Teringat aku satu lagu yang sering dinyanyikan oleh anak-anak nelayan kampung ku, termasuk aku.. Antara kata-katanya, dari lagu 'ikan kikek'...

Ramai-ramai kita ke laut,
Cari ikan mengisi perut,
Panas terik hujan dan ribut,
Itu semua kami tak takut.

Ada suatu yang menarik, hingga kini lekat di pemikiranku yang tidak mungkin kulupakan. Kisah mereka menangkap ikan guna pukat tarik. Menarik pukat ke daratan secara tradisional. Sekarang sudah tidak ada lagi. Seperti di gambar bawah, pukat ditarik dengan bot, tetapi mereka menarik pakai tenaga manusia.

Istimewanya waktu itu, mereka yang berbaris beramai-ramai itu hanya memakai cawat dari kain pelikat yang digulung dan diikat rapi, tidak berbaju. Seperti juga mereka yang memanjat pokok kelapa di kampung-kampung waktu itu pakai cawat juga. Menarik pukat beramai-ramai sambil menyanyi dan berseloroh. Makin hampir pukat naik ke darat, makin laju rentak lagunya. Tiada rasa penat lagi.

Begitulah kasih mesranya rakyat waktu itu iaitu sekitar awal tahun 1960an, sebelum dihasut-hasut oleh api perkauman kebangsaan. Tapi kini kampung itu sudah tiada lagi, surau dan Madrasah Al-Masakin sudah 2 kali terbakar, apabila Hotel Mutiara membeli seluruh kampung itu yang bertukar menjadi hotel bertaraf antarabangsa. Segala-galanya tinggal kenangan.. membuat lamunanku berlarut-larut.

Oh... Berbalik kita kepada kisah Kampung Keling diKota Medan ini. Saya pernah berkeliling kota Medan di seputaran kawasan Zainul Arifin tempat letaknya Kampung Keling ini . Sebelum Indonesia merdeka 1945, rasa India di kawasan ini tercermin dari nama-nama jalan yang sampai kini beberapa di antaranya masih digunakan. 

Dahulu nama Jalan Kalkuta, Jalan Bombay, Jalan Nagapatam, Jalan Ceylon, Jalan Madras dapat ditemukan di seputaran kawasan ini. Sekarang nama-nama itu sudah berganti beberapa. Tetapi nama-nama seperti Kelurahan Madras, Jalan PJ Nehru, Muara Takus, Candi Biara, Gajah Mada, Maja Pahit, Taruma, Candi Prambanan, Candi Borobudur, Majapahit yang semuanya masih bernuansa Hindu.

The Sri Mariamman Hindu Temple in Kampung Keling

Kampung Keling - Dutch Reformed Church (NOW = Gereja Kristen Indonesia...

Di Kampung Keling ini puluhan bangunan tua khas zaman kolonial Belanda masih ada. Sekarang populasi terbesar kaum India berada di Kampung Angrung dan Kampung Kubur, di sekitar kawasan Jalan Monginsidi, Medan. Menyusuri jalan-jalan ini, seakan-akan kita berada di India. Banyak toko-toko kepunyaan etnik India. Toko Bombay yang menjual aneka sari India, Toko Kasturi yang menjual berbagai keperluan orang India. Ada juga restoran-restoran yang menyajikan makanan khas India seperti di Restoran Cahaya Baru, De Deli Dar Bar, dan Restoran Bollywood. Dan juga warung-warung.

Ada 2 kuil besar. Satunya, kuil Shri Mariaman yang dibangun pada 1881. Dahulu terdapat Sekolah Khalsa, satu-satunya sekolah berpengantar bahasa Inggeris. Menarik lagi, adanya masjid Ghaudiyah. Menjadi bukti kerukunan beragam masyarakatnya. Masjid ini terletak di Jalan Zainul Arifin. Dibangunkan oleh perkumpulan etnik India Selatan yang beragama Islam, South Indian Muslims Foundation pada tahun 1887. Masjid gaya India dan perkuburan Islam.

Akhirnya Kampung Keling atau Chulia ini ditukar kepada nama Kampung Madras. Bangsa India, terutama Tamil datang ke Sumatera Utara pada akhir abad ke 19 semasa penjajahan Belanda, menjadi kuli perkebunan. Dalam catatan Badan WArisan Sumatera (BWS), rombongan pertama orang Tamil yang datang ke Medan sebanyak 25 orang, pada tahun 1873. Berkerja dengan Nienhuys, seorang Belanda pengusaha perkebunan tembakau, Tembakau Deli yang termasyur di dunia, menyebabkan tanah itu akhirnya dikenal sebagai 'Tanah Sejuta Dollar'

Akhirnya, pada 1975 jumlah kuli Jawa dan Tamil mencapai seribu orang. Para kuli kontrak ada yang datang melalui Penang atau Singapura. Ada yang berasal dari Punjab, India Utara yang umumnya beragama Sikh, Bombay, dan bangsa Chettyar yang pandai berbisnis. Ada yang menternak lembu. Pada akhir tahun 1930, penganut Sikh di Medan mencapai 5 ribu orang. Hingga kini di situ terkenal sebagai pengeluar 'susu sapi murni'.

Kini, keturunan India yang ada di Medan bukanlah mereka yang datang langsung dari India. Mereka adalah generasi ketiga atau keempat dari penghijrah awal. Kebanyakan mereka termasuk pemimpin-pemimpin yang bertanya saya tadi, menolak disebut sebagai bangsa India kerana memang sudah lahir di Indonesia dan menjadi warga Negara Indonesia.

“Kebudayaan saya memang india, tapi saya orang Indonesia,” kata mereka mantap.

Mengenai pertanyaan pemimpin orang-orang keturunan India di Kota Medan, mengapa orang-orang India di Malaysia ditindas atau tertindas berbanding bangsa lain sepertti disebutkan tadi, kata saya...

"Maaf tuan-tuan. Sebenarnya, saya belum lihat lagi sebuah statistik perbancian mengenai peratus kemiskinan tegar di kalangan orang-orang India, Cina atau Melayu di Malaysia. Jadi saya tak dapat jelaskan secara detail dan mendalam keadaan sebenarnya. Maaf, kalau saya tidak tahu."

Mereka diam saja. Nampaknya mereka tidak mengemukakan kenyataan dan bukti apa-apa pun.

"Tetapi kalau dilihat dari sudut sejarah, memang penjajah Inggeris terlibat dalam menyudutkan kaum India ke ladang-ladang dan estet. Menghadkan orang-orang Melayu ke sudut pertanian dan orang Cina kepada perniagaan, walaupun asalnya kaum Cina dibawa sebagai pekerja lombong dan kongsi gelap seperti Gee Hin dan Hai San, di Perak.

"Sedangkan orang Melayu sebelum itu menguasai perdagangan Asia Tenggara dan Selat Melaka. Sehingga timbul kisah orang Melayulah yang pertama sekali mengelilingi dunia mendahului orang barat. Iaitu Panglima Awang." Mereka terdiam dan terus mendengar.

Tetapi..

"Oh... Masa tidak mengizinkan, sebentar lagi kita akan masuk ke dewan semula." Kami pun bersurai.

Gambar kanan sekali juga seorng pemimpin kaum keturunan India Kota Medan, yang juga turut berbincang dengan saya.

Majlis forum 'Kerukunan umat beragama.

Bersama kawan-kawan dari Malaysia.

Insya Allah, saya akan lanjutkan perjalanan perbincangan kita kepada kertskerja mengenai agama Hindu dan kesamaannya dengan Islam yang dipersembahkan oleh Pinandita Ir S Annadore, bertajuk 'Kewaspadaan Beragama (Wasber), Pengalaman dan Cita-cita Hindu'.

Al-hamdulillah, insya Allah. Wassalam.




Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

KL 27 Jul 11.



Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

Bab 1

Bab 2

Bab 3

Akan terus bersambung, insya Allah!

Sila lihat siri Indonesiakini..


Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 21 -Lagu Nelayan

El Surayya - Nelayan



OST Sumpah Wanita 1960 - Ikan Kekek



Q-Genz 巧千金] Ikan Kekek -- 小小美人鱼 (Official MV)

No comments:

Post a Comment