KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mendukung usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi termasuk kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi di pelbagai sektor, kata Menterinya, Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Ini, ujarnya bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai sebelum akhir tahun ini seperti yang dirancang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selari dengan hasrat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Dalam usaha ini, KPPK akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit sebagai permulaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan projek rintis itu akan diadakan di Selangor, dengan anggaran pekerja seramai 5,000 orang dan telah pun mendapat sokongan penuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Tambahanya, tindakan selanjutnya sedang diperincikan bersama CITF untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya lagi, melalui program vaksinasi di bawah projek rintis itu, bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan.
Namun, jelasnya pihak syarikat masih perlu membiayai sendiri kos lain yang terlibat seperti penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peralatan perubatan (mengikut standard KKM), kos pemvaksin, doktor/jururawat serta bayaran elaun kepada petugas sukarelawan dan anggota keselamatan.
Katanya, penyertaan pihak industri dalam program itu adalah secara sukarela bagi mendapatkan vaksin untuk para pekerja di sektor perladangan dan agrikomoditi secara berkumpulan.
“Dalam hal ini, KPPK mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak industri serta persatuan dalam membantu Kerajaan melalui Kementerian bagi menjayakan program vaksinasi yang bakal dilaksanakan kelak,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Beliau berkata, KPPK akan memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung pelaksanaan program itu melalui siaran media dan juga laman web kementerian di www.mpic.gov.my.
“Kementerian berharap melalui program dengan kerjasama pihak swasta ini, sasaran imuniti kelompok PPN dapat dicapai dengan lebih cepat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/6/2021
No comments:
Post a Comment