Tuesday, June 15, 2021

Mengapa Ronaldo tidak minum Coca-Cola?

 

KETUA pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo membuktikan dia seorang ahli sukan yang konsisten menjaga pemakanan dan menolak minuman yang tidak elok untuk kesihatan seperti Coca-Cola.

Justeru, beliau secara bersahaja mengalihkan dua botol minuman Coca-Cola yang diletakkan di hadapan mikrofonnya pada sidang media menjelang pasukannya menentang Hungary pada aksi Kumpulan F Euro 2020 yang berlangsung di Ferenc Puskás Stadium, Budapest tengah malam nanti.

Dua pasukan lagi dalam kumpulan itu ialah Jerman dan Perancis. Portugal adalah juara bertahan selepas mengejutkan tuan rumah Perancis 1-0 pada perlawanan akhir Euro 2016.

Ronaldo menolak dua botol Coca-Cola itu ke tepi, dan tidak kelihatan dari bingkai kamera sambil memberikan isyarat ‘agua’ merujuk kepada ‘minum air kosong, bukannya air berkarbonat’. Dia ternyata agak kecewa dengan promosi air bergas dalam acara sukan seperti Euro.

Tindakan itu dilihat mencetuskan kontroversi kerana Coca-Cola adalah antara penaja Euro 2020.

Walaupun pihak penaja dikatakan kecewa dengan tindakan Ronaldo. Namun atlet seperti Tom Brady menyokongnya. Menurut Brady, Ronaldo adalah veteran dalam dunia sukan dan dia tahu apa yang memudaratkan fizikal serta kesihatan.

Ronaldo memang dikenali dengan sikap obses beliau dengan penjagaan kesihatan fizikal dan juga mental. Beliau hanya makan makanan yang sihat.

Bintang Juventus itu makan makanan berkhasiat sebanyak enam kali sehari bagi memastikan dia mampu bermain pada tahap tertinggi.

Dia pernah mendedahkan bahawa satu perkara yang membuatkannya bengang (triggered) adalah apabila melihat anaknya Cristiano Jr meminum air bergas terutama sekali Coca-Cola yang menjadi kegemaran anaknya.

Oleh sebab itu Ronaldo rasa sangat terganggu melihat anaknya minum Coca-Cola kerana dia minum minuman bergas dan terlebih gula.

Ronaldo pernah berkata: “Saya kadangkala terlalu tegas dengan dia kerana dia minum Coca-Cola dan Fanta. Itu membuatkan saya sangat marah dengan dia. Bahkan saya bertengkar dengan dia setiap kali dia makan makanan ringan seperti kerepek kentang, kentang goreng, dan semua benda macam itu”.

Bagi bintang Manchester United, Patrice Evra pernah menceritakan dia datang ke rumah Ronaldo dan membayangkan rumah mewah itu dipenuhi makanan sedap.

Rupanya peti ais Ronaldo hanya ada makanan salad, buah-buahan, ikan segar dan makanan sihat lain.

Lalu Evra yang pernah beraksi dengan Ronaldo dalam pasukan Manchester United menasihatkan: Jika Ronaldo ajak kamu makan di rumahnya, lebih baik kamu cari alasan menolaknya. Tak sedap.

“Lepas makan dia akan ajak kamu ke padang kecil dan melakukan beberapa latihan ringan,” ujar bekas pemain Perancis itu. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails