Wednesday, June 23, 2021

'Penunggang Agama', Apakata Ust Mokhtar Senik.

 

Siapa yang sebenarnya penunggang agama?

SEHARI dua ini sibuk juga dibicarakan kalimat  ‘penunggang agama’. Sehingga dengar khabarnya nama saya pun ada disebut dalam sebuah bual bicara. Kononnya contoh penunggang agama itu ialah seperti saya. 

Maaf lah sebab ceramah atau kuliah dalam Youtube  saya tak tengok semua. Pilih-pilih juga. Bukan kerana merendahkan seseorang penceramah. Tapi kalau dah ‘terkenal mengarut’ baik tak payah tengok pun. Baik tengok UEFA Euro 2021.

Tapi kerana banyak juga suara-suara pasal  ‘penunggang agama’ dibualkan, maka saya nak tunjuk dekat teman-teman apa dan siapa sebenarnya penunggang agama. Saya bukan nak sebut group dan mana-mana individu tapi nak beritahu sifat-sifat penunggang agama itu apa sebenarnya. 

Penjelasan ini pun bukan saya nak bela diri saya yang dituduh seperti di atas itu. Saya tak kasihan pun dekat diri saya tapi saya kasihan kepada sebahagian kita yang jadi tukang angguk kepada sesetengah  cybertrooper karut yang berlegar di ruang angkasa maya ini.

Bagi setengah mereka, asalkan guna ayat-ayat al-Quran atau Hadis dalam berhujah maka itu dikira menunggang agama. Begitu jauhnya kesesatan pemikiran ini. Pemikiran ini menyebabkan mereka meninggalkan hujah agama dalam berhujah kerana takut dikatakan ‘penunggang agama’. Akhirnya lahirlah manusia yang berhujah berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Sehingga akal dikira lebih mulia dari hujah agama.

Bukankah al-Quran itu diturunkan sebagai hujah? Awas, pemikiran Liberal ini secara beransur-ansur menjauhkan kita sepenuhnya dari Quran dan Hadis. Akhirnya kalam-kalam pemimpin kafir itu lebih diutamakan dari kalam Allah.

Agama adalah kenderaan yang menyampaikan kita ke syurga. Tanpa kenderaan ini manusia akan sampai ke neraka. Lalu siapa sahaja yang mematuhi agama dalam apa jua aspek kehidupannya maka ia akan selamat dan bukan penunggang agama.

Penunggang agama yang sebenar ialah manusia yang mahu agama mengikut arah yang ia mahu. Berpolitik tanpa agama itulah penunggang agama. Melantik orang-orang kafir sebagai pemimpin itulah penunggang agama. 

Orang yang menolak Islam  sebagai dasar berpolitik dan perjuangan itulah penunggang agama. Ahli politik yang melompat ke sana ke sini sehingga mengkhianati amanah rakyat itulah penunggang agama. Ahli politik yang sanggup khianati negara, agama dan bangsa itulah penunggang agama.

Alhamdulillah, PAS dan pimpinannya tidak pernah menukar hukum agama untuk tunduk kepada kepentingan politiknya. Setiap langkah politik PAS adalah menepati kehendak agama. Sehingga PAS tidak menghiraukan apa jua perkara jika merugikan agama. Asalkan menguntungkan agama maka PAS akan bersetuju sekalipun langkah itu tidak popular pada pandangan pemain politik Sekular yang sentiasa menunggang agama.

Asatizah yang menunggang agama ialah asatizah yang sanggup menjilat ke sana dan ke sini kerana mencari sedikit kemasyhuran di kalangan orang-orang kafir dan Sekular yang jelas bertentangan dengan agama.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/6/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails