Kerajaan meneliti usaha konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Sesi persidangan Parlimen hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Khas minggu lalu, membuka perspektif baharu bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata Jawatankuasa Khas itu dianggotai oleh beliau sendiri; Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.
Katanya, jawatankuasa itu sudah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan sistem hibrid itu dari pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara luar seperti United Kingdom dan Australia.
"Jika cadangan persidangan hibrid ini diterima dan diperkenankan oleh Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, suatu proses persidangan inovatif akan muncul di mana persidangan secara tradisional
"bersidang di dalam Dewan", bagi memastikan syarat minimum korum persidangan dipatuhi dan juga "bersidang secara maya."
"Beberapa aspek penting sedang dalam penelitian Jawatankuasa Khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baharu untuk diterima pakai demi memastikan antaranya tiada sebarang pelanggaran perundangan yang membabitkan prosedur operasi standard (SOP) anti-COVID-19 yang berkuatkuasa pada masa ini.
"Lantaran konsep dan prosedur ini membabitkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan termasuk Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan tetapi juga ketentuan baru berkaitan kelakuan serta tingkah laku Ahli Parlimen sendiri selain hal-ehwal prasarana dan kelengkapan legislatif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas usaha kerajaan mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.
Rais berkata, Jawatankuasa Khas itu juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik COVID-19 yang melanda negara dan rakyat pada hari ini serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan pemerintahan Raja Berperlembagaan.
Selain itu, katanya Jawantankuasa Khas turut mengambil kira implikasi kuatkuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemaskini prasarana sedia ada membabitkan, komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator yang bertebaran di seluruh tanah air.
"Justeru, dengan terlaksananya projek legislatif ini ia menjadi suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi perlu berfungsi.
"Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak legislatif dan eksekutif amat objektif terhadap keperluan serta tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan Senator mengatasi ancaman COVID-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa manakala keseluruhan kes menjangkau 616,815.
Beliau menjelaskan, dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini kuasa eksekutif dan legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa) 1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan sampingan berkaitan.
Katanya, jawatankuasa Khas itu akan meneruskan mesyuarat susulan esok.
No comments:
Post a Comment